Kekang ajaran sesat sebelum parah

Kekang ajaran sesat sebelum parah

UNDANG-UNDANG sedia ada mencukupi untuk menghukum pihak atau individu yang disabitkan salah dalam penyebaran ajaran sesat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AJARAN sesat yang membelenggu umat Islam di negara ini bukanlah suatu perkara baharu. Malah ada yang melaporkan kejadian ini berlaku seawal 1950-an lagi.

Isu ini saban kali menghantui dan mengejutkan masyarakat secara umum. Namun, ia sukar dikesan dan dihidu Pihak Penguatkuasa Agama (PPA) bagi tujuan pembanterasan memandangkan ajaran ini hanya terhad kepada pengikut dan tertutup.

Kesalahan yang berhubungan dengan akidah secara jelas dinyatakan di Bahagian II Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).

Kesalahan-kesalahan di bahagian ini adalah pemujaan salah di seksyen 3, doktrin palsu di seksyen 4, mengembangkan doktrin agama di seksyen 5, dan dakwaan palsu di seksyen 6 Akta 559. Misalnya di seksyen 4, Akta 559. Namun perlu diingatkan Akta 559 ini hanya berkuatkuasa dan terpakai bagi wilayah-wilayah Persekutuan sahaja. Negeri-negeri mempunyai enakmen jenayah syariah yang berbeza.

Untuk memutuskan atau membuat dapatan satu-satu ajaran tersebut menyeleweng, fatwa berkenaan dengan permasalahan tersebut perlu dikeluar dan seterusnya diwartakan. Satu-satu fatwa yang diwartakan akan mengikat orang Islam dalam negeri atau wilayah tersebut. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan di Seksyen 34 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

Oleh yang demikian dalam memutuskan suatu ajaran itu menyeleweng ataupun tidak ia sudah pasti ditentutan selepas penelitian yang jitu dilakukan oleh pakar-pakar dalam bidang ini.

Ia bukanlah boleh dikeluarkan dengan sewenang-wenangnya, justeru ia wajib dipatuhi. Perlu diingatkan walaupun jenayah syariah di bawah bidang kuasa negeri, undang-undang memberikan kebenaran kepada PPA dan pihak polis untuk menerima aduan, membuat tangkapan serta boleh menahan mana-mana orang yang disyaki melakukan jenayah syariah. Ini juga jelas dinyatakan di Bahagian III bab 2, Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutaun) 1997 (Akta 560).

Kepekaan orang ramai dalam isu ajaran sesat di Malaysia adalah suatu petunjuk yang baik. Barangkali dimangkin dengan kepantasan teknologi, kumpulan ini boleh dikesan seterusnya dibanteras oleh pihak berkuasa. Dalam isu Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH), persoalan sama ada ajaran dan amalan yang dilakukan oleh pengikut akan ditentukan kelak oleh pihak berkuasa agama negeri?

Setakat penulisan ini di garap terdapat beberapa negeri yang mewartakan ajaran yang diamalkan oleh GISBH adalah sesat seperti Perlis, Pahang dan Selangor.

Walau bagaimanapun selain isu akidah yang diputuskan menyeleweng daripada ajaran Islam di sebahagian negeri-negeri, isu yang tidak kurang kritikalnya adalah dakwaan berlakunya kegiatan jenayah dalam organisasi tersebut. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata siasatan GISBH melibatkan 10 akta. Antaranya Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta Kanun Keseksaan (Akta 574).
Terdapat aduan jenayah liwat kanak-kanak, kanak-kanak dipisahkan dengan ibu bapa serta diancam sekiranya meninggalkan pertubuhan ini adalah suatu yang serius dan tidak boleh diterima. Dakwaan kanak-kanak diguna bagi meminta simpati orang ramai untuk sumbangan serta aduan dicederakan sekiranya degil sama sekali tidak boleh diterima oleh anggota masyarakat.

Selain daripada siasatan yang melibatkan jenayah yang melibatkan akta-akta di atas, terdapat juga pelanggaran perundangan lain seperti Akta Kerja 1995 (Akta 265).

Malah dilaporkan juga Mahkamah Buruh Kluang telah memerintahkan GISBH membayar RM23,100 kepada bekas pekerja yang tidak pernah menerima gaji sepanjang 10 tahun lalu. Berlakunya juga perlanggaran perundangan berkenaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) apabila tiada rekod caruman mahupun pendaftaran pekerja. Perkara ini disahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

AMBIL TINDAKAN
Indoktrinasi seperti ini perlu dicegah oleh kerajaan secepat mungkin dengan menggunakan mekanisme undang-undang sedia ada. Undang-undang sedia ada dilihat mencukupi untuk menghukum pihak atau individu yang disabitkan bersalah.

Namun pada masa sama usaha berkali ganda perlu digembleng untuk nyah indoktrinasi yang telah dilakukan terhadap kanak-kanak. Perasaan masyarakat kini mungkin geram dengan pendedahan pihak berkuasa tetapi sekurang-kurangnya kembali lega selepas mengetahui mangsa-mangsa eksploitasi dilindungi pihak berwajib.

Tuntasya, permasalahan yang melibatkan pertubuhan ataupun ajaran sesat memerlukan sinergi antara pihak-pihak berkuasa untuk sama-sama ditangani. Beban ini tidak hanya boleh dipikul oleh mana-mana agensi tunggal. Menangani isu ajaran sesat atau apa-apa kesalahan berkenaan dengan akidah tidak semudah tangani jenayah yang terzahir. Ia bagai menarik rambut dalam tepung, rambut tidak terputus tepung tidak berselerakan.

Pihak penguatkuasa agama perlu menggunakan kuasa yang diperuntukan dalam undang-undang untuk menyiasat dan menangkap pelaku ini sebelum menjadi barah dalam masyarakat. Jika dilambatkan, ia akhirnya menatijahkan institusi agama sekiranya gagal mengekang kesalahan ini sehingga ke akar umbi.-UTUSAN

PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN