PETALING JAYA: Saingan bola sepak tempatan sama ada daripada pasukan liga utama mahupun liga bawahan ternyata ‘sukar’ untuk bebas daripada masalah tunggakan gaji.
Hal ini berikutan masalah tunggakan gaji turut didakwa melanda beberapa pasukan dalam saingan Liga A1 Semi-Pro, malah ada pasukan yang boleh dikatakan hanya bermain secara percuma sejak awal musim.
Pemain-pemain beberapa pasukan terbabit mendakwa masih menunggu gaji berbulan-bulan tidak dibayar.
Menurut sumber yang enggan namanya dikenali, beliau sudah tidak boleh bersabar lagi selepas tidak menerima sebarang gaji sejak April lalu iaitu ketika kempen liga Semi-Pro itu bermula.
Katanya, pihak pengurusan sentiasa menabur janji untuk membayar namun pada akhirnya bayaran gaji tidak kunjung tiba.
“Kami tidak pernah terima apa-apa gaji sepanjang musim. Jumlah tertunggak bermula bulan Mac hingga hari ini, boleh dikatakan telah mencecah jutaan ringgit kerana semua tidak menerima sebarang gaji.
“Sebenarnya pihak pengurusan sudah beberapa kali berjanji untuk membayar gaji namun ia hanyalah sekadar janji tanpa ada sebarang bayaran.
“Jadi saya rasa perkara itu tidak boleh dibiarkan dan perlu bersuara untuk menuntut hak saya. Kalau dibiarkan ia akan terus berlarutan, namun pada 15 November ini pihak pengurusan ada mengeluarkan surat akan menyatakan akan membayar gaji pemain dan pegawai, kita tunggu macam mana.
“Untuk isu ini, saya telah berhubung dan membuat laporan dengan pihak berkenaan dan harap masalah ini adalah selesai secepat mungkin,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Ada pasukan yang didakwa hanya dibayar gaji untuk sebulan, sepanjang lapan bulan mengharungi liga pada musim ini.
“Kami hanya terima gaji sebulan selebihnya tidak tahu bila akan dapat. Ramai pemain sudah tidak turun latihan dan hari perlawanan.
“Dijanjikan akan bayar tetapi hingga sekarang ia hanya tinggal janji, kami juga ada komitmen kena selesaikan untuk meneruskan kehidupan,” katanya seorang pemain yang mahu namanya dirahsiakan. – UTUSAN










