Harimau Malaya masih jauh ketinggalan 

Harimau Malaya masih jauh ketinggalan 

Harith Haiqal dan Matthew Davies diasak pemain New Zealand dalam aksi persahabatan di Auckland, semalam. Malaysia tewas 4-0. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jurang skuad Harimau Malaya dengan pasukan di kedudukan bawah 100 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) masih jauh ketinggalan.

Perkara itu perlu diakui selepas anak-anak buah Pau Marti Vicente tumpas 0-4 kepada New Zealand dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium North Harbour, semalam.

Dalam aksi itu, skuad negara jelas gagal menyaingi New Zealand yang berada di ranking ke-95 dunia biarpun berjaya mengikat All Whites 0-0 pada separuh masa pertama.

Aspek kawalan bola, hilang bola dikawasan tengah dan kurang persefahaman jelas ketara dalam skuad Harimau Malaya sekali gus menyumbang kepada kekalahan tersebut.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, sekarang bukan masa sesuai untuk skuad negara melakukan eksperimen kerana lawan mempunyai reputasi yang hebat.

Katanya, persiapan singkat dan tiada lawan sesuai untuk menguji Harimau Malaya sebelum berdepan New Zealand menjadi punca anak-anak buah Pau Marti bergelut dalam perlawanan itu.

“Kita hanya beraksi dengan kelab sahaja sebelum berdepan New Zealand, itu pun seri 1-1.  Saya nak kata persiapan kita tidak cukup sebenarnya untuk lawan pasukan di ranking bawah 100.

“Pau Marti juga belum ada ‘line up’ yang betul-betul dia inginkan berbanding New Zealand yang merupakan pasukan yang stabil dan membuat persiapan rapi sebelum berdepan kita.

“Sekarang bukan masa untuk melakukan eksperimen memandangkan kutipan mata ranking penting, persiapan ala kadar hanya makan diri. Memang nampak merisaukan dengan pasukan kebangsaan.

“Kadang-kadang kesian dengan jurulatih kerana dia hanya ikut jadual (perlawanan) yang disiapkan, macam Kim Pan Gon dahulu, dia minta untuk perlawanan tertentu tetapi tidak dapat, sama juga sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam aksi menentang Malaysia, empat gol New Zealand terhasil pada babak kedua menerusi Elijah Henry Just (m-53), Mattew Garbett (m-61), Chris Wood (m-73) dan  Logan Rogerson pada minit ke-90.

Mengulas lanjut, Pekan berkata, kebanyakan pasukan di ranking bawah 100 adalah skuad yang mantap dengan persiapan terbaik untuk berdepan mana-mana perlawanan dan perkara itu perlu ‘ditiru’ oleh Malaysia.

“Kebanyakan pasukan bawah 100 berkualiti tinggi jangan ingat kita boleh kalahkan mereka senang-senang sahaja. Mereka sangat konsisten di peringkat antarabangsa dan tidak tewas dengan mudah.

“Memang betul kita pernah seri 3-3 dengan Korea Selatan, tetapi jangan ingat kita sudah bagus. Setiap pasukan ada mentaliti dan tahap pemikiran tersendiri dalam padang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN