PETALING JAYA: Pemerhati sukan tempatan menggesa agar kerajaan memandang serius kekurangan peruntukan kewangan yang dihadapi oleh beberapa persatuan sukan kebangsaan.
Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, dana menjadi perkara penting untuk menggerakkan persatuan sukan dan jika ia tidak mencukupi maka segala perancangan terutamanya melibatkan pembangunan atlet gagal disempurnakan.
Katanya, persatuan sukan kebangsaan akan dipersalahkan jika atlet tidak menyinar di kejohanan besar sedangkan hakikatnya mereka sendiri tidak mempunyai kewangan yang mencukupi bagi melaksanakan program pembangunan.
“Jika kita mahukan kemenangan ia memerlukan belanja yang sangat banyak daripada segi kejurulatihan, program pembangunan dan menyertai kejohanan di luar.
“Perkara ini perlu dipandang serius sebab apabila tiada duit yang mencukupi persatuan sukan tidak boleh melaksanakan pembangunan, tak boleh cari bakat, tak boleh dapatkan jurulatih yang berkualiti dan tak dapat hantar atlet mereka ke luar negara.
“Apabila keputusan buruk dicatatkan oleh atlet di kejohanan besar ia akan berbalik kepada persatuan sukan sedangkan mereka tidak dapat laksanakan banyak perkara disebabkan bajet yang terhad,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berdepan kesukaran untuk menghantar skuad senior dan remaja menimba pengalaman dalam kejohanan kompetitif di luar negara.
Kos yang mencecah RM400,000 dan RM500,000 terlalu membebankan untuk ditanggung KHM sendirian memandangkan peruntukan yang disalurkan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) amat terhad.
Masalah yang sama turut dihadapi oleh Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) selepas peruntukan sekitar RM4 hingga RM5 juta yang diterima daripada MSN pada ketika ini tidak mencukupi dan badan induk memerlukan bajet tambahan bagi melancarkan program pembangunan pemain.
Pekan berkata peruntukan lebih tertumpu kepada program di bawah kendalian MSN dan bukan di bawah persatuan sukan kebangsaan untuk membangunkan atlet mereka.
“Secara tidak langsung kita akan terlepas pembangunan atlet yang tidak dapat diserapkan dalam skuad pelapis kebangsaan. Jadi, bagaimana persatuan sukan nak bangunkan atlet mereka,” katanya. – UTUSAN










