Kebijaksanaan seniman agung, Tan Sri P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh tidak boleh dibandingkan dengan pengarah genius Hollywood atau pemuzik tersohor Eropah.
Berbeza dengan nama-nama seperti Mozart atau Steven Spielberg yang menerima latihan sejak kecil, P. Ramlee menguasai kemahiran hebat dalam perfileman, lakonan, penulis skrip dan lagu secara tidak rasmi.
Biarpun tidak pernah mengikuti mana-mana program pendidikan formal dalam bidang jurusan perfileman atau muzik, Allahyarham genius mengadunkan filem komedi dengan mesej sosial dan keagamaan.
Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, P. Ramlee hanya belajar selok-belok mengarah melalui latihan praktikal dalaman yang didapati daripada pengarah-pengarah filem India di studio Jalan Ampas, Singapura.

“Menerusi latihan itu, P. Ramlee menguasai kemahiran dan mengendali peralatan, mengarah dan teknik penggambaran, teknik bunyi dan pencahayaan, membuat suntingan dan dubbing filem selain menulis lirik, lagu dan menyanyi.
“Antara tahun 1948 sehingga 1955 iaitu ketika berumur antara 19 hingga 27 tahun, beliau membintangi 27 buah filem. Berada di studio Jalan Ampas, Singapura dari 1948 hingga 1964 selama 16 tahun, beliau amat produktif dan terbabit dalam 48 buah filem atau purata tiga filem setahun,” katanya pada Majlis Syarahan Tun Ahmad Sarji Siri Ke-3 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini. Turut hadir, Pro Naib Canselor Strategi dan Kewatanan, UKM, Prof. Datuk Dr. Roslee Rajikan.
Filem arahan pertama Allahyarham, Penarek Beca ‘menyapu’ bersih semua gelaran terbaik iaitu pengarah, pelakon dan lagu terbaik oleh Majalah Filem dan Sukan 1955.
“Pada usia 27 tahun, beliau memberikan ‘durian runtuh’ kepada Shaw Brothers apabila filem itu berjaya secara komersil dan mendapat kutipan tinggi ketika itu.
“Pada 1964 sehingga 1972, P. Ramlee berkhidmat di studio Merdeka Kuala Lumpur dan menghasilkan 18 buah filem, sepanjang sembilan tahun dengan purata dua filem setahun. Jumlah filem yang beliau hasilkan sepanjang 25 tahun adalah sebanyak 66 filem,” katanya.
Empat faktor genius
Mohd. Yusoff menggariskan empat faktor memainkan peranan dalam mengilap bakat genius P. Ramlee.
Faktor pertama adalah darah DNA diwarisi daripada ayahnya, seorang imigran Acheh yang terkenal dengan sifat berani dan bersungguh-sungguh.
“Ramai orang Acheh yang berhijrah ke Pulau Pinang bekerja sebagai nelayan, petani, pembuat songkok dan capal serta senjata Melayu seperti keris dan parang sebelum itu.
“Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain yang juga bapanya berasal dari Acheh, adalah kawan baik kepada P. Ramlee yang banyak membantu dalam bidang bahasa seperti menulis skrip filem,” katanya.

Latar belakang kehidupan di Pulau Pinang, membesar di kota kosmopolitan dengan pelbagai bangsa, agama dan kebudayaan, mendedahkan seniman itu kepada ragam manusia yang rencam dan beragam.
Ia menjadi modal menulis skrip dan mengubah lagu yang dapat diterima masyarakat. Tidak hairanlah lagu dan filem beliau diminati pelbagai bangsa kerana bersifat sejagat dan universal.
“Faktor seterusnya adalah penguasaan beliau dalam Bahasa Inggeris yang membolehkannya membaca bahan bacaan, lagu-lagu dan filem berbahasa Inggeris.
“Salah satu insiden yang jarang diceritakan pada tahun 1958, P.Ramlee terpaksa mengarah filem Sarjan Hassan, setelah pengarah asal dari Filipina yang lebih berpengalaman menerbitkan filem antarabangsa, menarik diri,” katanya.
Memandangkan filem ini membabitkan dialog dalam English dan Jepun, Shaw Brothers mengangkat P.Ramlee yang menguasai kedua-dua bahasa itu, menjadi pengarah filem Perang Dunia Kedua itu.
P. Ramlee sebelum itu hanya penolong pengarah tetapi dengan bakat dan genius beliau berjaya menyumbang dan mengarahkan filem berkenaan.
“Fakta terakhir mengilap bakat geniusnya adalah sikapnya yang tidak segan silu dan bersungguh-sungguh belajar daripada mereka yang lebih pandai dalam pelbagai bidang.
“Beliau sanggup belajar muzik dengan Cikgu Kamaruddin di rumah beliau di hujung minggu. Dalam lakonan pula, beliau belajar daripada pelakon-pelakon senior. Begitu juga dalam pengarahan, belajar daripada pengarah filem India,” katanya.
Nyanyian dan hiburan
Di Singapura, sebagai penyanyi, komposer dan pemuzik, suara P. Ramlee yang merdu dalam menyanyikan lagu-lagu latar belakang filem, melayakkan beliau menerima kontrak rakaman bersama syarikat piring hitam.
Syarikat berkenaan memperoleh keuntungan yang lumayan dan memberi P. Ramlee wang royalti sebanyak 3,000 dollar, untuk lagu-lagunya. P.Ramlee juga menyanyi bersama okestradi bawah bimbingan pengarah muzik terkenal, Yusuf B yang beraksi di Radio Malaya di bangunan Cathay, di Singapura. Hasil penyelidikan pemuzik, P. Ramlee berjaya mencipta sebanyak 250 buah lagu dan lagu kegemarannya adalah Azizah.
“Beliau mula belajar bermain muzik seperti piano, biola dan gitar daripada Cikgu Kamaruddin, guru muzik dan brass band di Penang Free School. Kemudian belajar memainkan beberapa alat muzik lain seperti ukulele, seksafon, trumpet dan sebagainya. Selain itu, beliau juga belajar menyusun muzik daripada Osman Ahmaddan Yusof B.
“Dicatatkan juga P.Ramlee mencipta dan menyanyikan sendiri 60 lagu dalam filem arahannya. P.Ramlee bukan sahaja cenderung menghasilkan lagu bercorak tempatan atau tradisional seperti joget, inang dan dondang sayang serta ghazal (timur tengah, Arab).” katanya.
Allahyarham berbakat mencipta lagu pelbagai corak moden seperti cha-cha, twist, tempo, slow fox dan waltz. Lagu pertama ciptaan beliau ialah lagu Azizah, ditulis pada 1945.
Anjakan paradigma
P. Ramlee berjaya menyelitkan mesej sosial dan keagamaan kepada rakyat melalui filem-filem dan lagu-lagunya secara tidak langsung.
Filem Semerah Padi, mengangkat isu perundangan syariah dan hukum hudud bagi pesalah syariah seperti zina.
Manakala filem Pendekar Bujang Lapok bukan sekadar komedi tetapi melihat kepada masa depan di mana belajar silat tanpa ilmu akan menjadikan seseorang itu samseng.
Memalukan bila lelaki yang mementingkan kekuatan tenaga untuk bersilat berbanding otak untuk berfikir. Kekuatan sebenar adalah kekuatan minda bukan tenaga.
“Konsep cubaan dan dugaan dalam filem ini, P. Ramlee menyampaikan mesej bahawa dalam hidup ini, jangan tertipu dengan tahyul, cubaan sebenar adalah realiti, lebih mencabar berbanding dunia ghaib atau tahyul.
“Hantu dan jembalang tidak menjadi masalah tetapi haiwan bertopeng manusia lebih besar ancamannya. Namun dalam dunia Melayu yang masih bersifat animistik, hal-hal yang tahyul yang diberi perhatian sebagai sesuatu yang besar berbanding dunia realiti,” katanya.
P. Ramlee membawa satu anjakan minda, untuk orang Melayu supaya jangan percaya dengan tahyul, sebaliknya melihat dunia sekeliling.
Kehebatan hasil kerjanya itu secara tidak langsung mengiktiraf bakat genius beliau apabila setahun kemudian filem arahannya Pendekar Bujang Lapok (1959) berjaya menggondol anugerah Filem Komedi Terbaik ketika Pesta Filem Asia ke-6 di Kuala Lumpur.
“Anugerah paling istimewa pernah diterima oleh P.Ramlee ialah anugerah khas Bakat Seni Yang Menyerlah (The Most Versatile Talent).
“Anugerah ini dimenangi semasa Pesta Filem Asia di Tokyo 1963 menerusi filem Ibu Mertuaku (1963). Beliau pada ketika ini baru berusia 34 tahun dan merupakan klimaksdalam karier seni beliau,” katanya.
Filem terakhir lakonan P. Ramlee ialah Laksamana Do Re Mi (1972). Di penghujung kerjayanya, P. Ramlee berlakon dalam dua siri drama RTM.
Menerusi bakat seninya memberikan sumbangan besar kepada bangsa Melayu bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia Melayu iaitu Singapura, Brunei, Indonesia, Selatan Thai, Selatan Filipina dan di seluruh dunia dimana terdapat orang Melayu dan mereka yang menggunakan Bahasa Melayu.
Menerusi hasil kesenian filem dan lagu beliau, P.Ramlee seorang genius Melayu yang berjaya membawa kesatuan orang-orang Melayu dalam dunia Melayu.
P. Ramlee kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.











