KEMUNCULAN pelbagai aliran sesat dan menyesatkan menjadi cabaran besar bagi umat Islam hari ini, termasuk di negara kita.
Rasulullah SAW telah mengingatkan umatnya bahawa ajaran yang menyeleweng dan sesat bukan sahaja berlaku dalam kaum Yahudi dan Nasrani tetapi dalam kalangan umat Islam.
Seperti sabda Baginda yang bermaksud, “Sesungguhnya umat ini akan berpecah-belah menjadi 73 golongan, adapun yang 72 akan masuk neraka dan yang satu golongan akan masuk syurga, iaitu Al-Jamaah.”
Di zaman Baginda sendiri memiliki dua golongan sesat iaitu golongan qadariah dan murjiah.
Cuma di zaman Nubuwwah, Rasulullah masih ada untuk membimbing dan mengajar umat Islam akidah dan syariat yang benar. Kini, kita berada jauh dari zaman Rasulullah, Khulafaur Rasyidin dan para salaf al-Soleh.
Umat Islam berkembang di seluruh pelosok dunia dan melalui zaman yang silih berganti dengan pelbagai cabaran ditempuhi.
Antara cabaran tersebut termasuklah penyerapan ajaran-ajaran sesat dalam kalangan umat Islam, termasuk di negara kita.
Yang membimbangkan, ajaran sesat ini tetap berkembang dan menjadi ancaman kepada akidah umat Islam.
Di negara kita sendiri hampir 100 ajaran difatwakan sebagai sesat. Ia merangkumi pelbagai bentuk kesesatan, sama ada melalui aliran pemikiran, perbuatan, amalan khurafat, ajaran batiniah serta ajaran yang di luar dari amalan Ahli Sunnah wal Jamaah.
Hampir semua ajaran dan amalan ini berbaur pengaruh agama lain seperti Hindu, Buddha, Kristian serta ajaran kebatinan dan kepercayaan kepada makhluk halus.
Kebanyakan ajaran-ajaran ini ‘menyerap’ secara halus tanpa disedari pengikutnya.
Yang jelas ialah ajaran sesat tidak berteraskan sumber al-Quran dan hadis tetapi mereka cuba berselindung di sebalik kesucian agama Islam dengan mengguna atau memperalatkan ayat-ayat al-Quran.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pengamal ajaran sesat sering menggunakan beberapa teknik sebagai umpan untuk mendapatkan pengikut serta pengaruh dalam kalangan masyarakat.
Untuk mempengaruhi seseorang itu percaya dengan ajaran yang disampaikan, mereka memberikan janji-janji berupa jaminan dan manfaat kesenangan hidup dunia serta akhirat, termasuk harta-benda selain pangkat.
Malah, ketekunan dan komitmen dibalas dengan makam yang mengecualikan mereka dari bersolat, tidak perlu berpuasa, tidak perlu zakat serta tidak perlu mengerjakan haji.
Bagi pengikut muslimat pula mereka bersedia dan sanggup untuk melakukan penyerahan rohani dan jasmani kepada guru melalui nikah batin dengan tujuan mendapatkan anak soleh.
Ketua dan orang-orang kanannya beristeri ramai disebabkan ajaran songsang tersebut.
Ini bermakna ajaran sesat sanggup membatalkan atau memansuhkan syariat-syariat Islam seperti solat, puasa, zakat, haji, pernikahan dan membuat syariat baharu yang jauh sama sekali dari ajaran dibawa oleh Rasulullah.
Hakikatnya, ajaran sesat bukan sahaja memesongkan akidah umat Islam tetapi boleh menimbulkan ancaman dan bahaya kepada masyarakat Islam disebabkan kebanyakan ajaran sesat menanam kepercayaan para pengikutnya untuk berfikiran fanatik dan taksub kepada ketua, sekali gus boleh menjurus kepada tindakan melampau di luar batas-batas syariat dan undang-undang.
Mereka telah ‘ditanamkan’ doktrin untuk tidak derhaka kepada ketua atau jika tidak akan ditimpa keburukan. Ini menyebabkan mereka sukar meninggalkan ajaran sesat yang diikuti itu.
CABARAN
Walaupun perkembangan dakwah Islam di negara kita cukup meluas melalui pelbagai kaedah atau medium seperti forum, ceramah, tazkirah, kuliah-kuliah agama di seluruh masjid, televisyen, radio dan media sosial termasuk YouTube, namun ajaran sesat masih menjadi cabaran buat umat Islam di negara ini.
Selain disebarkan secara sulit, ajaran sesat ini juga turut menggunakan kemudahan internet, khusus melalui media sosial seperti YouTube. Ajaran sesat juga disebarkan secara meluas melalui buku-buku berunsur informasi yang menyeleweng dan meragukan.
Selain itu, terdapat dalam kalangan individu tertentu yang cuba menonjolkan diri sebagai orang alim atau arif dalam ilmu agama melalui perubatan Islam. Di sinilah wujudnya cabaran umat Islam dalam mendapatkan ilmu agama.
Dalam konteks ini umat Islam harus bersifat cakna dengan kata-kata para salaf al-Soleh yang menyebut bahawa ilmu adalah perkara penting untuk memahami agama. Mereka menasihat dan mengingatkan kita supaya meneliti setiap sumber ilmu dan pemahaman agama itu diperoleh atau dipelajari, termasuk sumber ajarannya.
Kesimpulan, ajaran sesat mampu mengganggu-gugat keharmonian masyarakat, institusi keluarga dan boleh menjejaskan ukhuwah Islamiah, malah berupaya mengancam keselamatan negara.
Justeru, penyebaran ajaran sesat yang kebanyakannya disebarkan secara sulit dan halus memerlukan tindakan tegas pihak berkuasa agama.
Tidak boleh ada kompromi dalam usaha membendung ajaran sesat yang jelas-jelas menimbulkan kekeliruan terhadap akidah Islam dan syariat Islam.-UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










