RTG sedia bantu Aniq raih emas LA2028

RTG sedia bantu Aniq raih emas LA2028

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyapa Mohamad Aniq Kasdan selepas aksi angkat berat bawah 61 kilogram (kg) lelaki, semalam. - IHSAN FB HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan berpeluang menebus kehampaan di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan melakukan persediaan terbaik menjelang temasya Los Angeles 2028 (LA2028).

Aniq akan mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menghadapi temasya terbesar dunia yang akan berlangsung empat tahun lagi.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau bangga dengan semangat juang ditunjukkan Aniq dalam acara angkat berat kategori 61 kilogram (kg) lelaki di Paris 2024, malam tadi.

Dalam saingan itu, atlet berusia 22 tahun itu hampir melakar kejutan, namun terlepas meraih pingat dengan perbezaan 1 kg dengan pemenang pingat gangsa dari Amerika Syarikat, Hampton Morris.

Walaupun hanya berpuas hati di tempat keempat, pemenang pingat emas Sukan Komenwel Birmingham 2022 itu berjaya memadam rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan angkatan keseluruhan 297kg.

“Melangkah ke hadapan, saya telah bercakap dengannya (Aniq) hari ini bahawa RTG (Program Road To Gold) berikrar sokongan penuh untuk dia mendaki lebih tinggi, mengangkat lebih berat dan menjadi lebih kuat.

“Dia masih muda dan boleh menjadi pencabar hebat serta prospek yang baik untuk membawa pulang emas pada 2028.

“Saya percaya pada Aniq dan dia memberi inspirasi kepada negara kita hari ini. Saya pasti ramai anak muda kini ingin meneroka sukan angkat berat,” kata Hannah di laman Facebook miliknya.

Tambah Hannah, biarpun baru disenaraikan dalam program RTG hujung November tahun lalu, tetapi banyak peningkatan dipamerkan atlet kelahiran Johor itu.

“Walaupun baru sahaja dimasukkan ke dalam program Road To Gold pada bulan November lalu, beliau sudah menunjukkan peningkatan yang amat ketara, daripada ranking ke-10 kepada ‘top’ empat di Sukan Olimpik.

“Dia menunjukkan bahawa sukan angkat berat mempunyai potensi raih pingat emas di LA2028 nanti.

“Saya percaya Aniq boleh memenangi pingat gangsa hari ini. Walaupun saya berasa sangat sedih untuknya kerana terlepas gangsa, saya juga penuh harapan tentang potensinya.

“Dia melakukan ‘lift’ yang hebat. Sejak hari pertama dia menyertai program sokongan RTG, dia bersahaja dan mahu mencabar kedudukannya sendiri.

“Dia melakukan lebih daripada itu hari ini. Dia menunjukkan kepada Malaysia dan dunia bahawa kita boleh menjadi kuasa yang perlu diperhitungkan dalam sukan angkat berat,” jelas Hannah.

Terdahulu, pingat emas acara itu dimenangi Li Fabin dari China dengan jumlah angkatan 310kg (143kg, 167kg) manakala perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Theerapong Silachai dari Thailand dengan 303kg (132kg, 171kg) dan Morris dengan angkatan 298kg (126kg, 172kg). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN