KENYATAAN 26.1 peratus rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas dijangka terus bekerja sehingga menghadapi masalah kesihatan ekoran terpaksa mencari wang untuk memenuhi keperluan di hari tua bukan sahaja amat membimbangkan malah cukup menyedihkan.
Ironinya, setelah berpuluh tahun memberikan pelbagai sumbangan dan perkhidmatan yang terbaik namun pada akhirnya mereka masih tidak mampu meniti usia persaraan dengan tenang sebaliknya keadaan memaksa mereka untuk terus mencari kerja lain bagi menjana pendapatan baharu.
Hal ini berlaku kerana hanya 29 peratus rakyat Malaysia mempunyai pendapatan seperti pencen semasa bersara sekali gus menyebabkan mereka yang bekerja di sektor swasta dan tidak mempunyai kelebihan pencen menghadapi cabaran bagi menyara keperluan selepas bersara.
Fenomena ini sewajarnya membuka mata dan minda semua pihak terutamanya bakal pesara untuk membuat persiapan rapi bagi menghadapi cabaran meneruskan kelangsungan hidup pada usia emas selepas bersara kelak. Apa yang pasti kita tidak mahu dan tidak boleh membiarkan pesara dihimpit dan dibelenggu dengan masalah kemiskinan selepas bersara.
Hakikatnya, Malaysia dijangka memasuki fasa negara tua menjelang 2043 iaitu 14 peratus daripada penduduk terdiri daripada populasi berusia 65 tahun ke atas. Ini adalah kesan susulan daripada peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kelahiran.
Maka situasi ini sepatutnya meningkatkan lagi kebimbangan bagaimana golongan pesara mampu meneruskan kehidupan untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh 15 hingga 20 tahun selepas bersara tatkala kos sara hidup semakin meningkat dan pendapatan semakin tidak menentu.
Lebih membimbangkan apabila data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tidak memihak kepada pesara dengan satu daripada empat pencarum menghabiskan simpanan dalam tempoh lima tahun selepas mencapai umur pengeluaran. Ini ditambah pula dengan tindakan mengeluarkan simpanan beberapa kali sebelum ini termasuk ketika pandemik. Beberapa cadangan dari pakar seperti memperkenalkan skim hibrid manfaat tertakrif (DB) dan caruman tertakrif (DC) dilihat wajar diberi pertimbangan serius demi membela nasib dan kebajikan kelompok pesara.
Skim DB dikenali sebagai pelan pencen tradisional yang menyediakan amaun bayaran tertentu semasa persaraan, sementara DC pula membolehkan pekerja menyumbang dan melabur dalam dana dan sekuriti lain dari semasa ke semasa untuk simpanan persaraan.
Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, cadangan hibrid itu adalah suatu alternatif yang boleh dikembangkan terutamanya bagi pekerja swasta.
Cadangan seperti ini dilihat sesuai, praktikal dan satu keperluan setelah mengambil kira perubahan landskap alam pekerjaan pada ketika ini yang semakin menjurus ke arah pekerjaan tidak formal seperti pekerja gig dan golongan bekerja sendiri yang sekali gus memberi cabaran kepada sistem perlindungan sosial yang ada bagi memastikan keterangkuman dan keselamatan yang lebih baik untuk rakyat.
Pada masa yang sama kita juga berharap agar golongan ini sedar situasi dan cabaran yang bakal dihadapi kelak dengan mengambil inisiatif supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup nanti.
Mahu tidak mahu mereka perlu sedar cabaran besar menanti dan situasi akan menjadi lebih rumit jika tidak merancang dan bersedia dari sekarang.
Dalam hal ini, golongan bakal pesara baik dari kalangan sektor awam mahupun swasta perlu memberi perhatian terhadap usaha meningkatkan literasi kewangan diri sekurang-kurangnya lima tahun sebelum bersara supaya mampu berdikari dengan kadar pencen atau baki simpanan yang ada melalui pelbagai strategi pengurusan kewangan yang bijak dan berkesan.
Ini membolehkan kelompok ini bersedia mengharungi cabaran kewangan dengan status kewangan yang lebih baik dan terjamin serta boleh berdiri atas kaki sendiri tanpa mengharapkan ihsan atau bantuan orang lain termasuk tidak perlu mencari kerja lain.
Antara langkah pertama ialah mereka perlu menilai dan mengenalpasti keperluan perbelanjaan sara diri dan keluarga selepas bersara mencakupi perbelanjaan harian isi rumah, bayaran balik hutang yang masih ada seperti hutang rumah dan kenderaan serta kos rawatan kesihatan selain keperluan untuk terus menyimpan suatu nilai yang bersesuaian untuk tujuan kecemasan luar jangka. Maklumat ini membolehkan kita merancang perbelanjaan dengan lebih sistematik.
Bakal pesara juga perlu bijak mengawal nafsu perbelanjaan dengan memberi perhatian utama kepada keperluan wajib berbanding keinginan atau kemahuan semata-mata.
LITERASI KEWANGAN
Melalui literasi kewangan yang betul, bakal pesara juga boleh mendalami ilmu pelaburan yang boleh memberikan keuntungan jangka panjang secara konsisten. Untuk itu kita perlu mula mencari peluang pelaburan yang betul dan sah di sisi undang-undang serta menilai kadar keuntungan serta kelebihan lain yang ditawarkan supaya menjelang detik persaraan, sudah bersedia melaburkan wang persaraan yang ada di tempat yang sewajarnya.
Selain itu literasi kewangan juga boleh membantu mengelak daripada menambahkan hutang baik sebelum mahupun sejurus selepas bersara kerana akan meningkatkan risiko kesukaran untuk membayar balik sekali gus menjejaskan kemampuan kewangan diri.
Justeru diharap majikan juga dapat memainkan peranan signifikan dengan menyediakan kursus atau latihan kepada bakal pesara organisasi masing-masing bagi meningkatkan tahap literasi kewangan yang diperlukan. Kemahiran ini akan menjadi senjata penting yang menyelamatkan masa depan dan kebajikan golongan warga emas negara ini.
Walaupun mengimpikan suasana persaraan yang tenang dan selesa setelah bertahun-tahun bekerja, namun jika perancangan kewangan tidak diurus dengan bijak boleh menyebabkan persaraan dalam keadaan kemiskinan.
Hakikatnya bersara dalam kemiskinan adalah satu pilihan tetapi jika kita bijak bertindak dari sekarang dan bersedia sepenuhnya dengan pelbagai ilmu dan literasi kewangan maka peluang untuk kita menikmati kehidupan yang sejahtera selepas bersara adalah lebih baik dan terbentang luas.-UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).










