YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika merasmikan pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada 26 Februari lalu bertitah Seri Paduka berasa amat kecewa apabila dimaklumkan kerajaan hari ini sedang menanggung beban hutang yang semakin besar.
Seri Paduka menyebut dengan keadaan kewangan kerajaan yang lemah dan kedudukan defisit fiskal sejak 1998, sukar bagi kerajaan melaksanakan projek pembangunan baharu atau memberikan suntikan kewangan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Sultan Ibrahim berharap semasa pemerintahan baginda ini, kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun. Oleh itu, Seri Paduka bertitah menyokong hasrat kerajaan untuk mengambil langkah penjimatan yang drastik dan melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar.
Menyambut titah ini, ahli Parlimen pembangkang dari Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak di Parlimen supaya kerajaan dapat merealisasikan hasrat baginda untuk memperoleh lebihan fiskal dengan memilih kaedah penyasaran subsidi yang dapat mengimbangi kedudukan fiskal yang lebih baik.
Malah, ahli-ahli Parlimen tersebut membangkitkan bukan sekadar tentang penyasaran subsidi diesel tetapi juga petrol RON95 yang dikatakan akan dilaksanakan seawal Jun dengan menyatakan bahawa setelah setahun hal ini diperkatakan maka mekanismenya perlu segera dijelaskan.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas, Khairil Nizam Khirudin, turut menyatakan persetujuannya dengan prinsip subsidi bersasar namun beliau menekankan pentingnya kerajaan memperincikan mekanisme pelaksanaan bagi memastikan keberkesanannya.
Gambaran yang diberikan ialah pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan petrol RON95 oleh kerajaan akan mendapat sokongan mereka, tetapi bila pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dibuat pada 10 Jun terdapat pula gesaan supaya ia ditangguhkan atau dibuat secara berperingkat.
Kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bahawa parti Islam itu mengalu-alukan matlamat baik yang digariskan kerajaan berhubung langkah penyasaran subsidi diesel sambil meminta kerajaan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan domestik wajar dipuji.
Pada masa yang sama, ramai pemimpin pembangkang dan sesetengahnya dari parti yang menjadi sebahgaian daripada kerajaan tidak senada dan mengeluarkan kenyataan yang mengkritik keras langkah ini sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai sikap konsisten mereka.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan gesaannya supaya subsidi bersasar dilaksanakan pada 2022 berkata kenaikan harga diesel secara mendadak akan mengakibatkan kejutan ekonomi yang akan merebak ke seluruh pelosok negara.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, mengimbau sejarah lampau dengan berkata “Hari ini diesel naik RM1.20, tindakan itu boleh diisytiharkan sebagai maha terkutuk. Tanpa syak dan ragu, kita boleh nobatkan ini kerajaan yang sedang melakukan tindakan yang maha terkutuk.”
Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden pula berkata, penyasaran subsidi diesel untuk menyelamatkan negara dalam aspek kewangan dan bagi mengelak daripada penyeludupan merupakan suatu alasan malah membuktikan kegagalan kerajaan untuk menunaikan janji.
Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, kenaikan harga diesel adalah pencetus gelombang baharu penularan ‘wabak’ inflasi di era Ekonomi Madani dan ternyata Perdana Menteri dan kerajaan ‘kakistokrasi’ ini gagal untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.
PEKA
Ahli-ahli politik, baik dari pihak pembangkang mahupun kerajaan, sepatutnya bersikap konsisten dan bertanggungjawab. Mereka perlu sentiasa berpandangan jauh dan tidak membangkang sekadar untuk membangkang atau untuk mengejar populariti semata-mata.
Ahli-ahli politik dari pihak pembangkang khususnya perlu peka dengan reaksi-reaksi positif daripada pakar-pakar ekonomi yang sebahagiannya pernah mendukung mereka. Memisahkan diri dari golongan cendekiawan yang berpengaruh besar ke atas masyarakat akan memakan diri.
Pakar ekonomi terkenal, Prof. Jomo Kwame Sundaram, umpamanya berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi ke atas bahan api termasuk diesel adalah satu langkah berani dan permulaan baik yang diambil oleh kerajaan pimpinan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai juga menyokong penuh langkah ini malah beliau yakin penjimatan akan menjangkau RM8 bilion setahun jika isu membabitkan aktiviti penyelewengan, penyeludupan dan penjualan secara haram dapat diselesaikan melalui penyasaran subsidi ini.
Mengikut beliau, hasil penjimatan subsidi diesel ini akan boleh dirasai rakyat dalam tempoh setahun seterusnya membolehkan bantuan Budi Madani dan bantuan tunai lain ditingkatkan manakala akses pendidikan dan kesihatan dapat ditambah baik.
Ketua Kluster Ekonomi, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Hassan Abu Bakar berkata, kerajaan berada di landasan tepat ‘melepaskan’ subsidi diesel kerana jumlah itu mampu digunakan untuk perkara lebih penting selain memberi impak positif kepada perniagaan.
Beliau berkata, tanpa pemberian subsidi diesel ini, syarikat besar khususnya berkaitan kerajaan (GLC) berupaya meningkatkan daya saing pada jangka masa panjang, sebab subsidi mengganggu pasaran dan secara tidak langsung akan membawa perniagaan kepada tidakkecekapan.
Pensyarah Kewangan Islam, Qatar Foundation, Prof. Madya Eskandar Shah Mohd Rasid, berkata, meski bukan keputusan popular dasar penyasaran subsidi harus dilakukan demi masa depan ekonomi negara kerana mana-mana kerajaan yang membelanjakan satu per tiga hasil untuk subsidi susah untuk melaksanakan tanggungjawab.
Beliau juga berkata, ia juga memberi insentif untuk beralih kepada ekonomi baharu yang berasaskan kelestarian, digitalisasi dan sebagainya yang mana hasilnya boleh dilihat dalam setahun dua bila ini.
Sesungguhnya masa akan membuktikan dasar penyasaran subsidi adalah satu langkah amat tepat. Seperti seorang doktor pakar yang mahu menyelamatkan pesakitnya, tindakan tegas memberikan ‘pil pahit’ amat penting demi kebaikan jangka panjang negara.
Ahli-ahli politik seharusnya tidak terbelenggu dengan sejarah silam dan sentiasa memandang jauh ke hadapan. Selaku rakyat yang setia kepada raja, mereka juga mesti mendukung titah Yang di-Pertuan Agong yang menyokong hasrat kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi.. – UTUSAN
DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.










