PETALING JAYA: Harimau Malaya bakal mempertaruhkan jentera serangan berbeza menentang Kyrgyzstan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek, hari ini.
Hal ini kerana, ketiadaan beberapa tonggak termasuk penyerang naturalisasi, Romel Morales, Darren Lok, Syafiq Ahmad dan dua pemain sayap yang menjadi nadi penting buat Harimau Malaya sebelum ini, Faisal Halim serta Arif Aiman Hanapi kerana masalah kecederaan.
Situasi itu menyaksikan perubahan terpaksa dilakukan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon di bahagian serangan apatah lagi Harimau Malaya perlu bermain dengan corak menyerang bagi memastikan misi wajib menang ke atas Kyrgyzstan tercapai.
Ketika ini, pemain naturalisasi, Paulo Josue, Haqimi Azim Rosli dan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob menjadi antara calon yang bakal diletakkan sebagai penggempur utama skuad negara.
Berdasarkan pengalaman bersama skuad senior di pentas antarabangsa, Josue mungkin menjadi harapan utama Pan Gon untuk menggalas peranan itu dengan dibantu dua pemain Terengganu, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid di bahagian sayap.
Terdapat kemungkinan juga ‘perubahan’ yang bakal dilakukan pengendali dari Korea Selatan itu nanti akan menyaksikan peranan untuk mendapatkan jaringan tidak hanya tertumpu kepada bahagian serangan sahaja.
Mengimbas kembali kemenangan 4-3 Harimau Malaya ke atas Kyrgyzstan dalam aksi pertama Kumpulan D di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 16 November tahun lalu, dua daripada gol skuad negara disumbangkan tonggak pertahanan, Dion Cools.
Bagi kapten pasukan, Cools optimis bahawa barisan pemain sedia ada mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan berdasarkan komitmen yang diberikan pada sesi latihan.
Jelasnya, dalam bola sepak ketiadaan beberapa tonggak dalam sesuatu perlawanan adalah perkara biasa dan ia dialami oleh mana-mana negara.
“Semua berjalan dengan baik, saya fikir pasukan bersedia sepenuhnya dan tahu betapa pentingnya perlawanan ini.
“Kami perlu bersedia dari segi mental dan fizikal dan perlu memberi aksi terbaik esok (hari ini). Dalam bola sepak ia perkara biasa berlaku kehilangan tonggak dan pertukaran pemain.
“Memang terasa apabila tujuh pemain utama tiada tetapi saya percaya pemain-pemain lain mampu menjalankan tugas diberikan dengan baik. Tiada tekanan negatif untuk pasukan,” katanya. – UTUSAN










