Malaysia 10 penyumbang terbesar pencemaran plastik

Malaysia 10 penyumbang terbesar pencemaran plastik

MALAYSIA antara 10 negara teratas menyumbang kepada pencemaran plastik di lautan yang memberikan kesan kepada kesihatan marin – GAMBAR HIASAN/AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA dikelilingi lautan dan mempunyai lebih daripada 4,600 kilometer (km) pantai yang bersempadan dengan lautan utama seperti Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi. Malah Laut Andaman dan Lautan Hindi juga bersambungan dengan pantai Malaysia.

Kawasan pantai Malaysia sangat signifikan dan berkepentingan dalam keselamatan, ekonomi, alam semula jadi dan kemakmuran negara. Ia sangat perlu diberi perhatian khusus oleh kerajaan, terutamanya dari segi pengetahuan dan penyelidikan berkaitan sains marin, kebergantungan penduduk tempatan kepada kestabilan habitat dan sumber semula jadi, kepelbagaian biologi serta hal-hal berkaitan dengan undang-undang tempatan juga antarabangsa.

Segi Tiga Terumbu Karang yang merupakan satu inisiatif enam negara iaitu Filipina, Indonesia, Malaysia, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon dan Timor Leste juga sangat penting kepada negara ini. Inisiatif ini adalah untuk menjayakan pelbagai usaha memulihara ekosistem dan hidupan marin di lautan yang bersempadan dengan bahagian barat Lautan Pasifik.

Kawasan seluas enam juta kilometer persegi ini sangat penting dan diiktiraf sebagai pusat global kepelbagaian biologi marin. Kawasan yang hanya meliputi dua peratus kawasan lautan dunia menjadi habitat penting kepada 75 peratus terumbu karang dan 40 peratus jenis ikan-ikan karang. Justeru itu ekosistem ini penting dalam sosioekonomi dan perubahan iklim dunia termasuk Malaysia.

Aktiviti manusia yang semakin agresif di lautan membuatkan sukar untuk ahli sains mentafsirkan apabila kurang maklumat saintifik berkaitan lautan dan pantai.

Pembangunan kawasan pantai yang pantas kerana permintaan sosioekonomi dan politik menjadi cabaran baharu kepada sains marin. Kajian saintifik menunjukkan bahawa aktiviti manusia mengubah program pemuliharaan organisma marin dan sejarah secara signifikan.

Perubahan alam sekeliling mengubah rekod alam semula jadi dan maklumat sejarah sesuatu tempat. Aktiviti penambakan pantai, hakisan atau pemendapan muara sungai akibat aktiviti daratan dan pembinaan pulau buatan antara yang memberikan kesan kepada kepelbagaian biologi dan sejarah fosil.

Aktiviti pembangunan pantai yang menyebabkan perubahan ekosistem, kepelbagaian biologi dan fungsi yang memerlukan khidmat pakar dan perhatian kerajaan.

Walaupun bidang pengajian lautan sudah lama, namun sampai sekarang hal-hal asas seperti peranan mikroorganisma dalam kesihatan tumbuhan pantai masih lagi dibincangkan. Dalam keadaan yang banyak krisis ekologi akibat daripada aktiviti manusia, cabaran dalam memahami peranan organisma sangat penting, di samping kajian berkaitan organisma lain seperti makrobentos, ikan, siput, burung-burung dan mamalia lain di ekosistem pantai.

Tambahan lagi dengan perkembangan terkini era komunikasi baharu, permintaan tinggi dalam penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) untuk membuat keputusan cepat dan tepat, sangat memerlukan data asas yang terperinci. Ahli sains biologi dan ekologi terpaksa bekerja lebih keras dalam mendedahkan proses ekologi yang penting dalam pengurusan ekosistem.

Malaysia mempunyai bahagian-bahagian berkaitan ekosistem marin yang bertanggungjawab dalam hal alam sekitar. Antaranya ialah bahagian yang mentadbir, merangka, menyelaras dan melaksana program berkaitan bahagian air dan marin agar mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan serta tanggungjawab negara terhadap perjanjian antarabangsa yang berkaitan.

Agensi-agensi lain yang terlibat termasuklah Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim, Jabatan Laut, Jabatan Pengairan dan Saliran, Institut Maritim Malaysia, Institut Penyelidikan Hidrolik Negara, Jabatan Meteorologi Nasional, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Operasi Marin Polis Diraja Malaysia. Universiti juga terlibat dalam pendidikan tinggi dan penyelidikan bidang-bidang berkaitan sains marin.

PUSAT KAJIAN MARIN
Dalam suasana dunia yang sedang menghadapi isu perubahan iklim yang memberikan tekanan kepada planet biru dan kehidupan di dalamnya, Malaysia perlukan pusat kajian marin untuk menyokong wawasan global. Walaupun sudah ada beberapa universiti dan institusi yang aktif dalam kajian sains marin tetapi satu pusat seperti Bahagian Direktorat Oseanografi Kebangsaan (NOD) yang pernah ada dahulu perlu diwujudkan semula bagi memangkinkan tindakan untuk lautan dan iklim.

Permintaan dunia berkaitan kempen 30X30 yang bertujuan untuk melindungi 30 peratus daripada lautan dunia menjelang tahun 2030 memerlukan pusat berkenaan. Keperluan pusat dan kepakaran perlu disegerakan untuk mencapai hasrat ini.

Mengikut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kurang daripada 17 peratus kawasan tanah dan lapan peratus kawasan lautan dilindungi di seluruh dunia. Gerakan global ini inginkan 30 peratus planet biru dilindungi menjelang 2030 dan dijaga serta dilindungi untuk generasi akan datang.

Kajian menunjukkan satu ekar kawasan rumput laut menyokong sebanyak 40,000 ikan dan 50 juta invertebrata kecil termasuk ketam, kerang, siput dan lain-lain.

Ekosistem batu karang yang cetek juga penting sebagai habitat hidupan laut. Kawasan yang kurang daripada satu peratus daripada keluasan lautan itu, menyokong 25 peratus daripada spesies marin dan habitat kepada 4,000 spesies ikan batu karang, lebih 800 spesies batu karang dan lebih sejuta spesies hidupan lain yang bergantung kepada ekosistem batu karang.

Hutan bakau di pantai juga penting sebagai habitat kepada ribuan spesies tumbuhan dan haiwan. Ekosistem bakau selalu dikaitkan dengan stok karbon yang penting dalam ekologi dan perubahan iklim. Purata stok karbon global dalam ekosistem hutan bakau adalah 1,000 tan karbon per hektar.

Untuk menyambut seruan PBB memenuhi 30×30 menjelang tahun 2030, Malaysia sebenarnya sudah mampu.

PENCEMARAN PLASTIK
Pencemaran plastik di lautan menjadi isu besar sekarang. Malaysia antara 10 negara teratas menyumbang pencemaran plastik di lautan yang memberikan kesan kepada kesihatan lautan.

Mikro dan Nano Plastik (MNP) menjadi partikel penting yang bahaya. Pada 2024 isu plastik ditumpukan kepada kemudaratan dalam organisma marin, ekosistem dan kesihatan manusia dengan menggalakkan semua pihak bertanggungjawab mengurangkan sisa plastik dan melindungi lautan.

Malaysia sebagai ahli dalam Suruhanjaya Oseanografi Antara Kerajaan (IOC), Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sudah tentu komited dengan ekosistem marin.

Penghormatan yang pernah diberikan melalui IOC menunjukkan kejayaan dan keupayaan Malaysia dalam bidang sains marin. Kekuatan ini mesti diteruskan sesuai dengan kemajuan teknologi sekarang dan keperluan kepakaran masa hadapan.

Di Malaysia ada beberapa institusi yang aktif dengan IOC Sub-komisen untuk Pasifik Barat (IOC-Westpac) seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan beberapa universiti lain untuk memajukan pengetahuan mahupun teknologi dalam bidang sains marin demi kerjasama saintifik serta kemakmuran masyarakat.

Sempena sambutan Hari Lautan Sedunia tahun ini kerajaan mesti berfikir secara lebih serius berkaitan penumpuan kepada sains marin dan memerlukan satu agensi khas untuk melihat kepentingan lautan dalam keselamatan, sosioekonomi dan menyokong isu perubahan iklim dunia.-UTUSAN

DR. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) dan Pengerusi Persatuan Ekologi Malaysia (PEM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN