Ketua jabatan perlu jadi reformis elak salah laku berterusan

Ketua jabatan perlu jadi reformis elak salah laku berterusan

PENGLIBATAN salah laku dan rasuah dalam kalangan penjawat awam memberi impak besar terhadap kehidupan rakyat selain terhadap pencapaian ekonomi dan pembangunan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYOR Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar ketua jabatan tidak dinaikkan pangkat jika wujud salah laku dan amalan rasuah penjawat awam di bawahnya sehingga tidak dilaporkan menarik perhatian khalayak untuk dibincangkan.

Cadangan ini wajar diteliti dalam konteks yang positif dan maksud tersirat di sebalik ketegasan Anwar, yakni saya percaya Perdana Menteri mahu semua ketua jabatan di sektor awam bertindak sebagai seorang reformis iaitu pemimpin yang sentiasa mengusahakan kebaikan, mencegah kecurangan tatakelola dan melaksanakan pembaharuan secara berterusan.

Itulah sebabnya kita percaya ada nilai kewajaran yang tinggi dalam cadangan ini kerana tugas dan tanggungjawab seorang ketua itu sesungguhnya cukup besar dan berat untuk dipikul. Ironinya kita tidak mahu rasuah dan salah laku terus menghantui sektor awam apatah lagi kelompok ketua jabatan yang bermasalah diumpamakan dengan pepatah ikan busuk mula dari kepala, sebaliknya kita mahu setiap ketua jabatan bangkit menjadi reformis iaitu suri teladan yang terbaik kepada rakan setugas dan anggota di bawah seliaannya.

 Secara prinsipnya tugas mengurus dan mengendalikan sumber manusia terutamanya dalam aspek menyelia, memantau dan mengawal anak buah masing-masing adalah satu cabaran yang cukup besar. Jujurnya bukan semua orang boleh melakukannya, justeru bukan semua orang layak untuk dilantik sebagai penyelia atau ketua jabatan.

Masalah rasuah di negara kita yang berlaku secara sistematik di pelbagai jabatan kerajaan yang sensitif seperti agensi penguatkuasaan sudah tidak  menjadi rahsia. Misalnya terkini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menahan beberapa orang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang disyaki terbabit dalam kes kontena lari cukai (kontena terbang) yang bergiat aktif di Pelabuhan Klang, Selangor. Kes ini dilaporkan membabitkan ketirisan berjumlah RM3.5 bilion sejak 10 tahun lalu.

Dalam pada itu Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) terus mendedahkan pelbagai salah laku melibatkan pegawai dan anggota dari agensi penguatkuasaan yang sekali gus terus membimbangkan rakyat dan negara.

 Jelas sekali isu rasuah mahupun salah laku membabitkan penjawat awam memberi impak besar terhadap kehidupan rakyat selain terhadap pencapaian ekonomi dan pembangunan negara. Justeru proses kawalan wajar ditingkatkan di setiap peringkat penyeliaan di organisasi agar perkara ini tidak terus berulang.

Dalam hal ini individu yang dilantik sebagai pegawai penyelia dan ketua jabatan perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan anak buah masing-masing jaga tingkah laku sepanjang melaksanakan tugas.

Dari segi peraturan dan panduan dalam sektor awam semua pegawai penyelia dan ketua jabatan telah ditetapkan tanggungjawab yang jelas dan terperinci yang perlu dipatuhi apabila dilantik memegang sesuatu jawatan termasuk hukuman yang boleh dikenakan jika gagal melaksanakan amanah tersebut.

Justeru senario yang sedang berlaku lebih kepada kecuaian dan kelalaian segelintir ketua jabatan melaksanakan amanah mereka dengan betul terutamanya gagal menjadi reformis yang diperlukan.

Hakikatnya mana mungkin seseorang pegawai terlibat dalam pelbagai salah laku dalam urusan kerja yang dibuat jika sentiasa dipantau dan dikawalselia oleh penyelia dan ketua jabatan. Lazimnya jawatan penyelia dan ketua jabatan datang dengan terma dan skop tugas yang jelas dengan antara lain tugasan utama ialah perlu memantau prestasi dan kerja yang dilakukan oleh kakitangan di bawah mereka.

Justeru kita percaya semua penyelia dan ketua jabatan tahu gerak geri anak buah masing-masing yakni siapa yang benar-benar ikhlas bekerja dengan integriti yang tinggi dan yang mana pula sering culas, ada masalah disiplin serta terlibat dalam pelbagai salah laku termasuk rasuah.

Apa yang mengecewakan ialah ramai yang tidak berani mengambil tindakan sebaliknya memilih untuk berdiam diri, cuba selesaikan secara dalaman, rasa kasihan serta malu jika diketahui orang luar. Akibatnya individu yang terbabit terus mengulangi perbuatan tidak bermoral itu selama-lamanya.

Ada juga kes yang mana ketua jabatan cuba selesaikan isu salah laku ini dengan cara menukarkan pegawai yang bermasalah itu ke jabatan, bahagian atau seksyen lain namun pendekatan seperti ini juga dilihat sudah tidak praktikal dan berkesan kerana rasuah dan salah laku sudah sebati dalam jiwanya atau sudah jadi budaya kehidupan yang agak sukar dan tidak mungkin boleh berubah. Akibatnya individu ini akan menimbulkan masalah di penempatan baharu dengan mengulangi kesalahan yang sama dan lebih teruk lagi akan mula mempengaruhi rakan setugas di jabatan tersebut pula untuk turut mengikuti jejak langkahnya.

Dalam pada itu ada juga situasi yang lebih parah apabila ketua jabatan atau pegawai penyelia turut terlibat bersekongkol dengan anak buahnya dalam melakukan salah laku sebagai satu rantaian yang sistematik di sesebuah organisasi tersebut. Ini ternyata terbukti benar apabila dalam banyak kes tangkapan SPRM menunjukkan ketua jabatan atau pegawai atasan turut ditangkap bersama kerana terlibat dalam kes terbabit.

 TINDAKAN

Maka dalam konteks ini adalah sangat wajar syor agar ketua jabatan yang bertindak tutup mata serta tidak mahu melaporkan kesalahan yang berlaku dikenakan tindakan yang sewajarnya seperti menyekat laluan kenaikan pangkat atau turut dikenakan hukuman tatatertib dengan caj sebagai cuai dalam melaksanakan tugas hakiki iaitu memantau dan menyelia anggota bawahan selain melindungi kesalahan yang berlaku.

Tuntasnya, perkhidmatan awam memerlukan ketua-ketua jabatan yang boleh bertindak sebagai reformis yang berani mengambil tindakan ke atas anggota yang bermasalah, memperbaiki segala kelemahan dan kecurangan tadbir urus yang ada, melaksanakan pelbagai pembaharuan yang strategik demi meningkatkan imej penjawat awam di mata rakyat sekali gus memberikan sumbangan bermakna terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

 Semoga semua penyelia dan ketua jabatan menerima secara positif teguran dan cadangan Perdana Menteri sekali gus meningkatkan aspek penyeliaan dan pemantauan dan bertindak sebagai reformis yang boleh membantu membersihkan perkhidmatan awam dari gejala rasuah.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN