PETALING JAYA: Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar tidak mengambil masa rehat yang lama walaupun masih segar dengan kekalahan kepada lawannya dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat dalam Kejohanan ONE Championship di Bangkok, kelmarin.
Johan yang mesra disapa Jojo tewas menerusi kiraan mata selepas pertarungan tiga pusingan kategori flyweight sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan.
Bagaimanapun, jurulatihnya, Addy Singpayak hanya memberi tempoh rehat kepada Jojo selama tujuh hari sebelum petarung berusia 18 tahun itu kembali berlatih.
“Selepas menamatkan misi, rehat untuk tujuh hari, bangkit dan kembali menyertai latihan dan mencari mana kesilapan untuk diperbaiki bagi kejohanan seterusnya,” kata Addy.
Dalam pertarungan yang diadili oleh pengadil, Olivier Coste, Johan diasak sejak pusingan pertama lagi sebelum bangkit di hujung pertarungan.
Sementara itu, Jojo mengakui sukar untuk dia mencari kelemahan Nguyen bagaimanapun tekad untuk bangkit daripada selepas mengalami kekalahan pertama dalam ONE Championship.
“Saya pernah kalah sebelum ini. Kekalahan merupakan sebahagian daripada hidup. Jangan nilai saya ketika kalah, anda perlu melakukannya etika saya bangkit daripada kekalahan ini,” katanya.
Itu merupakan pertarungan pertama Johan sejak 8 Disember tahun lalu yang menyaksikan dia menumbangkan juara WBC dari Mexico, Edgar Tabares menerusi kemenangan ‘knockout’ (KO) dalam tempoh 36 saat di Bangkok.
Sebagai rekod, Johan melakar kemenangan menerusi KO sebanyak empat kali, satu perlawanan menang menerusi keputusan pengadil dan tewas sekali. – UTUSAN










