PETALING JAYA: Ubat bagi merawat kecederaan yang dialami oleh Faisal Halim selepas lecur tahap empat perlu diimport dari luar negara dan menelan belanja lebih RM30,000.
Difahamkan ubat yang dimaksudkan itu adalah ‘skin allograft’ diimport dari Belgium dan digunakan untuk membina lapisan asas sebelum kulit ditampal di bahagian lecur.
Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair berkata, ubat tersebut digunakan khusus untuk mempercepatkan proses rawatan kulit.
“Ubat yang perlu dibawa masuk dari luar dipanggil ‘skin allograft’. Ubat itu sebahagian daripada prosedur untuk membantu dan mempercepatkan pemulihan.
“Ubat ini digunakan untuk masalah lapisan kulit. Menurut pakar bedah, minggu ini akan ada prosedur lanjutan,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Hazwan berkata, bagi kecederaan otot yang dialami Faisal akibat simbahan asid itu boleh dilakukan selepas melengkapkan rawatan kulit.
“Otot lebih kepada rehabilitasi dan itu dijangka kita boleh lakukannya pada masa akan datang,” katanya.
Tambahnya, selepas menjalani pembedahan kedua, balutan di seluruh tubuh pemain itu sudah boleh dibuka.
Berdasarkan semakan di internet, penggunaan ‘skin allograft’ dalam rawatan lecur dilakukan untuk membantu luka sembuh.
Ia akan memberi perlindungan sementara pada luka terbakar, melindungi dermis dan mempercepatkan proses penyembuhan. – UTUSAN










