LONDON: Liverpool menjangkakan penyerang sensasinya, Mohamed Salah kekal di Anfield pada musim depan untuk melengkapkan baki kontrak setahunnya.
Bintang Mesir berusia 31 tahun itu ketika ini tidak memberikan sebarang petanda dia mahu meninggalkan Liverpool yang turut tidak berhasrat menjual pemain itu.
Sebelum ini, Salah terbabit pertelagahan tepi padang dengan pengurus Jurgen Klopp ketika bersiap sedia masuk sebagai pemain gantian ketika seri 2-2 di West Ham.
Situasi berkenaan menjadi perdebatan hangat dalam kalangan peminat The Reds dan ramai yang menjangkakan ada sesuatu yang tidak kena antara Salah dan Klopp.
“Akan ada perdebatan jika saya bercakap hari ini,” kata Salah ketika diminta mengulas situasi berkenaan selepas tamat perlawanan menentang West Ham.
Pada awal musim, Liverpool menolak tawaran kelab Liga Pro Saudi, Al Ittihad yang membuat bidaan sebanyak £150 juta pound (RM898 juta) untuk mendapatkan Salah.
Namun, Klopp yang akan meninggalkan kelab pada penghujung musim ini dijangka mencetuskan spekulasi perpindahan dalam kalangan beberapa pemain seniornya.
Salah menjaringkan 24 gol musim ini tetapi prestasinya merosot sejak mengalami kecederaan pada Piala Negara-Negara Afrika, Januari lalu.
Selain impian meraih gelaran EPL musnah, mereka juga tersingkir daripada saingan Liga Europa dan Piala FA.
Salah kini hanya berbaki 12 bulan daripada kontrak tiga tahun ditandatangani dengan bayaran £18 juta pound (RM107 juta) setahun pada 2022. – AGENSI/UTUSAN









