PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia menerima pelbagai maklum balas positif mengenai penggunaan video bantuan pengadil (VAR) dalam perlawanan pra musim Liga Malaysia (Liga M).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam berkata, penggunaan VAR juga diterima baik oleh semua pasukan Liga M biarpun teknologi baharu itu memerlukan masa untuk diadaptasi.
“Lebih (komen) positif daripada negatif saya boleh katakan. Penerimaan VAR di peringkat tempatan di kelab masing-masing kita sudah membuat pembentangan dan taklimat kepada hampir kesemua pasukan dalam Liga Malaysia dan diterima baik.
“Penyediaan teknologi baru memerlukan masa untuk diadaptasi, selain daripada operasi, produksi dan penyiaran serta pengguna iaitu pengadil sendiri,” kata Stuart ketika ditemui, semalam.
Mengulas lanjut, Stuart berkata, lapan perlawanan pra musim VAR yang mereka anjurkan adalah satu keputusan berhati-hati untuk pihaknya menyediakan ruang latihan kepada pengadil, pasukan dan produksi.
Sebelum ini, Stuart memaklumkan kos hingga mencecah RM6 juta adalah harga yang perlu dibayar bagi memastikan saingan Liga M menepati standard antarabangsa sekali gus meningkatkan kualiti saingan tempatan.
Jumlah jutaan ringgit itu digunakan MFL bagi mendapatkan sistem VAR yang akan digunakan dalam saingan Liga M bermula musim ini, selain kos operasi VAR pula dianggarkan mencecah sekitar RM3.2 juta hingga RM3.4 juta setahun, termasuk kos pengadil.
Pada saingan Liga M musim-musim terdahulu, kancah saingan liga tempatan sering menjadi sasaran kritikan ekoran mutu pengadilan yang kurang memuaskan sehingga beberapa pengadil pernah digantung daripada tugas.
Susulan itu, pengenalan VAR di Liga M diharapkan mampu membantu pengadil dalam membuat keputusan lebih tepat selain bagi membolehkan pengadil tempatan meraih peluang mengadili kejohanan terbesar seperti Piala Dunia. – UTUSAN










