WASHINGTON: Pertarungan antara bekas juara tinju heavyweight, Mike Tyson dan pempengaruh media sosial YouTube, Jake Paul di Dallas pada 20 Julai ini bukan lagi sekadar aksi pertunjukan tetapi dikategorikan sebagai profesional.
Pertarungan akan berlangsung lapan pusingan, dengan setiap pusingan selama dua minit dan keputusan perlawanan akan memasuki rekod kedua-dua petinju.
Tyson yang tewas pada pertarungan rasmi terakhirnya pada 2005, mempunyai rekod 50-6 dengan 44 knockout dan belum pernah menang sejak menewaskan Clifford Etienne pada 2003.
Begitupun, timbul kerisauan untuk menjadikan pertarungan ini sebagai aksi profesional berdasarkan jurang usia di antara kedua-dua petinju berkenaan.
Paul berusia 27 tahun manakala Tyson akan mencecah usia 58 pada 30 Jun ini.
“Mike Tyson mahu menjadikannya pertarungan profesional. Netflix mahukannya sebagai perlawanan profesional.
“Jadi saya setuju untuk menjadikannya profesional dan pemenang ambil semua,” kata Paul tentang pertarungan itu yang akan berlangsung di Stadium AT&T di Arlington, Texas.
Tyson memenangi gelaran heavyweight dunia pertamanya pada 1986 dan mengungguli kesemua gelaran pada tahun berikutnya, hampir 10 tahun sebelum Paul dilahirkan. – AFP/UTUSAN










