PERTUBUHAN Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) berulang kali menekankan dalam puluhan artikel termasuk laporan untuk Persidangan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) Ke-88 bahawa Malaysia mengutamakan prinsip agama dan kemoralan dalam mengambil kira sebarang nilai keadilan sejagat.
Namun begitu, pakar-pakar Jawatankuasa CEDAW sewaktu mengemukakan komen terhadap Malaysia berkenaan isu keganasan berdasarkan jantina, sunat wanita dan kewarganegaraan seolah-olah tidak prihatin akan kedudukan agama Islam dan nilai moral yang dimanifestasikan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang setempat sedari berabad lamanya.
Seorang Ahli Jawatankuasa Pakar CEDAW sewaktu sesi persidangan pada 22 Mei lalu mengemukakan pernyataan dan soalan berikut : “Undang-undang sivil dan beberapa versi undang-undang syariah belum diharmonisasikan di bawah CEDAW. Tiada undang-undang Persekutuan yang secara langsung menyatakan bahawa pelacuran adalah haram, tetapi undang-undang syariah boleh diguna pakai secara tidak seimbang terhadap pekerja seks wanita. Apakah langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia untuk memastikan hak dan maruah semua individu, termasuk pelacur wanita, dilindungi dan dikekalkan dalam rangka undang-undang syariah?”
Jelas tiada perasaan hormat oleh Jawatankuasa CEDAW akan nilai setempat walaupun Malaysia telah meratifikasi CEDAW sejak 1995.
Jika betul Jawatankuasa ini membenarkan negara ahli membuat reservasi terhadap artikel tertentu atas alasan undang-undang negara, tradisi, agama atau budaya, mereka tidak sepatutnya mengajukan soalan-soalan atau kehendak yang asing malah bercanggahan dengan asas perundangan Malaysia.
Sekali lagi ditegaskan bahawa Malaysia mengamalkan nilai-nilai tradisional. Malang sekali, terdapat terlalu banyak usaha untuk merosakkan nilai-nilai ini termasuk dengan mengeksploitasi imej wanita menjadi objek seksual di ruang awam.
Walaupun eksploitasi seksual terhadap wanita terus menjadi jenayah di bawah Seksyen 2 dan 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), dan pelacuran adalah jenayah di bawah Seksyen 372, 372A, 372B, dan 373 Kanun Keseksaan (Akta 574]), pengeksploitasian komersial terhadap wanita tetap berlaku secara berterusan.
Pada 2017, seorang penyelidik menyatakan objektifikasi seksual wanita menjadi norma sosial bagi banyak industri media dan hiburan. Wanita dipromosikan untuk menghasilkan keuntungan bagi tujuan perniagaan. Pengiklanan imej wanita dalam mempromosikan produk secara terbuka merupakan cara pintas untuk menarik perhatian pembeli sekali gus merancakkan lagi industri perniagaan.
Objektifikasi wanita secara berleluasa ini turut menyumbang kepada gerakan yang menggalakkan agar persundalan berleluasa di sebuah negara Islam seperti Malaysia.
Walaupun ada undang-undang Persekutuan dan undang-undang syariah termasuk dalam Kanun Keseksaan, Akta Kanak-Kanak 2011 Akta Kesalahan Kecil 1995 serta Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri, kita masih digasak untuk menerima pelacuran sebagai pekerjaan yang sah di sisi undang-undang.
Kerajaan Malaysia melalui Menteri Komunikasi pada awal tahun ini menegaskan Malaysia tidak sesekali akan membenarkan rumah pelacuran dibuka kerana undang-undang jelas tidak membenarkan perkara itu berlaku.
Pakar-pakar yang menganggotai Jawatankuasa CEDAW sepatutnya lebih arif dan peka dalam menghayati realiti sebenar dunia pelacuran yang penuh dengan penindasan dan penderitaan.
Pada 1997, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) meneliti pertumbuhan pesat pusat pelacuran di Asia Tenggara dan membuat kesimpulan ia mempunyai implikasi serius berkaitan dengan moral awam, kebaikan sosial, penularan HIV/AIDS, selain jenayah dan eksploitasi seksual kanak-kanak.
Dua dekad kemudian, ILO melaporkan 99 peratus daripada mangsa dalam industri seks komersial adalah wanita dan kanak-kanak perempuan, yang terjejas oleh buruh paksa.
Beginilah cara kerja seks atau pelacuran menjadi salah satu bentuk utama buruh tidak mahir yang menyediakan pendapatan untuk wanita dalam komuniti yang mengalami kemiskinan atau pengangguran. Mereka akhirnya terperangkap dalam sistem pemerdagangan manusia yang amat zalim.
Ironi sekali bagi Jawatankuasa CEDAW kerana daripada mereka berusaha untuk menutup pintu kepada lambakan kes penyakit jangkitan kelamin (STD), keganasan dan penderaan terhadap wanita, sebaliknya mahu memberi kelonggaran kepada industri seks atas alasan hak asasi manusia.
Kejahilan yang disengajakan terhadap realiti perdagangan seks global yang semakin meningkat adalah tidak berperikemanusiaan apatah lagi bercanggah sepenuhnya dengan agama, moral dan cara hidup kita.
SARANAN
Dalam laporan WAFIQ dalam sesi ke-88 CEDAW, pelbagai rekomendasi dicadangkan kepada pihak kerajaan untuk menangani sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita. Kami menggesa agar prosedur menyeluruh ditetapkan untuk memerangi promosi bahan-bahan hiperseksual kepada orang ramai.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia turut perlu diperkasakan dengan hak geo-block untuk mengehadkan perkhidmatan aliran Over-The-Top yang dilanggan melalui alamat protokol internet (IP) Malaysia.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kini digesa untuk mengendalikan semua aktiviti iklan yang diterbitkan secara fizikal di setiap daerah di Malaysia secara tegas agar iklan yang lucah tidak dibiarkan tersebar luas.
Kerajaan juga disarankan untuk mengemaskini Akta Iklan Indekan 1953 (Akta 259), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620), agar memastikan sistem menyeluruh dan mempromosikan kerjasama antara kementerian dalam memerangi sebarang bahan atau produk lucah.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Pengarah Komunikasi Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










