Pemain gantian selamatkan maruah Sang Penyu  

Pemain gantian selamatkan maruah Sang Penyu  

Pemain Terengganu FC, Ismaheel Akinade (tengah) diasak oleh pemain Perak FC pada aksi pertama Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak kelmarin. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, mengakui impak pemain gantian menyelamatkan maruah Sang Penyu daripada dimalukan Perak pada aksi Liga Super, malam kelmarin.

Menurut jurulatih kelahiran Croatia itu, TFC beraksi di bawah prestasi sebenar dengan gerakan yang serba tidak menjadi selain kesilapan mudah yang nyaris dihukum skuad The Bos Gaurus.

Namun beliau menarik nafas lega apabila kemasukan Nik Sharif Haseefy, Engku Nur Shakir Engku Yacob dan penyerang ‘bidan terjun’, Nnabuike Chukwu, mengubah nasib TFC untuk mengutip mata penuh.

“Ini adalah kemenangan penting namun saya lihat TFC gagal beraksi baik dalam sebahagian besar 90 minit permainan, mujur pemain kami yang masuk dari bangku simpanan menjadi perbezaan.

“Sebelum perlawanan lagi saya sudah memberitahu pemain bahawa kami memerlukan lebih 11 orang untuk menang dan itu yang berlaku apabila Nik Sharif dan Nnabuike muncul wira TFC.

“Sebelum itu pemain buat banyak kesilapan hantaran dan kami kelihatan teruk sehingga Perak memperoleh sepakan penalti namun kemasukan pemain gantian berjaya mengubah rentak,” katanya.

Dalam aksi kelmarin, TFC membuka tirai jaringan menerusi Nurillo Tukhtasinov minit keenam sebelum kesilapan Manuel Ott menghadiahkan penalti kepada Perak yang disudahkan Luciano Guaycochea (m-61).

Tiga mata bagaimanapun milik TFC selepas Shivan Pillay tertolak masuk bola ke gawang sendiri minit ke-67 berpunca hantaran Nik Sharif disusuli penyudah tepat Nnabuike hasil umpanan Engku Nur Shakir minit ke-76.

Steinbruckber berkata, dia sememangnya mengharapkan impak positif daripada barisan pemainnya termasuk dari bangku simpanan bagi menghadapi musim 2024/25 yang panjang.

“Nik Sharif antara yang konsisten tahun lalu selain Syahmi (Zamri) serta Engku Nur Shakir dan saya yakin mereka akan beraksi lebih kerap musim ini walaupun bukan dari kesebelasan utama.

“Secara keseluruhan untuk perlawanan ini, saya berpuas hati dengan permulaan langkah kanan namun tidak boleh gembira dengan apa yang dipamerkan pemain,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN