Pasukan mana mampu cabar JDT?

Pasukan mana mampu cabar JDT?

Liga Super musim 2024/2025 akan melibatkan 13 pasukan dan pastinya JDT sekali lagi menjadi pilihan utama untuk bergelar juara. - IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tirai Liga Malaysia (Liga M) akan disingkap secara rasmi pada hari ini dan tumpuan peminat bola sepak tempatan pastinya akan terarah untuk menilai pasukan mana yang mampu mencabar Johor Darul Ta’zim (JDT).

Liga Super musim 2024/2025 akan melibatkan 13 pasukan dan pastinya, JDT sekali lagi dilabel sebagai calon utama untuk bergelar juara selepas menjulang trofi Liga Super buat kali ke-10 musim lalu.

Dengan ramuan juara yang dimiliki sejak 10 musim lalu, JDT yang dikendalikan oleh Hector Bidoglio dilihat memiliki barisan ‘serba lengkap’ di setiap posisi dengan kehadiran pemain import, warisan dan tempatan.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, JDT dijangka sekali lagi menguasai Liga M musim ini berdasarkan persiapan pasukan dan barisan yang dimiliki oleh Harimau Selatan itu.

Jangkaan tersebut bukan mahu menidakkan kemampuan pasukan lain tetapi Pekan berkata, berdasarkan persiapan dan pengalaman pemain, JDT memiliki segala kelebihan berbanding pasukan lain di Liga M.

“Mereka membuat persiapan pra musim di Sepanyol dan mendapat perlawanan persahabatan yang berkualiti di sana, JDT juga da pemain import berkualiti, pemain warisan terbaik dan pemain tempatan yang menyinar.

“Jadi, apa lagi yang haruskan gambarkan tentang JDT, mereka ada sumber kewangan yang kukuh dan infrastruktur sukan terbaik di Malaysia. Berdasarkan perkara ini, saya jangka mereka akan terus kuasai pertandingan domestik.

“Jika ada pasukan yang mampu mencabar pun mungkin Selangor FC, Terengganu FC atau pun Sabah FC. Itu pun mereka akan bersaing untuk kedudukan kedua, ketiga dan keempat ke­rana di tangga teratas pastinya menjadi milik JDT.

“Betul Terengganu ada pemain berkualiti termasuk Akhyar Rashid dan Safawi Rasid. Tetapi, kena ingat bila bertemu JDT, kedua-dua pemain ini hanya akan menjadi penonton sahaja kerana terikat perjanjian pinjaman dari JDT,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Pekan berkata, berdasarkan persiapan dan pemain yang dimiliki JDT, skuad Harimau Selatan sebenarnya lebih memberi tumpuan kepada saingan peringkat Asia selepas ‘gagal’ dicabar di peringkat domestik.

Untuk rekod, pada musim lalu, JDT sahaja merangkul double quadruple dua musim berturut-turut selepas menyapu bersih Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan terakhir Piala Liga Super.

Malah, JDT yang dimiliki Tunku Ismail Sultan Ibrahim melakar sejarah dalam kancah bola sepak domestik apabila menjaringkan 100 gol sepanjang 26 perlawanan pada saingan Liga Super musim lalu.

Kejayaaan menakjubkan itu tidak akan berhasil tanpa Tunku Ismail di belakang tabir yang diibaratkan maestro bola sepak tanah air tatkala bijak mencatur perancangan begitu teliti buat skuad bergelar Harimau Selatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN