SHAH ALAM: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin terbuka beri kerjasama berhubung siasatan kes serangan terhadap pemain bola sepak kebangsaan.
Hamidin bertegas, mana-mana pemimpin badan induk itu bersedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membantu mengenal pasti punca serangan.
Malah, katanya, beliau tidak merasakan tindakan melepaskan jawatan selaku presiden badan induk itu mampu menyelesaikan isu keganasan terhadap pemain bola di negara.
“Saya tahu apa saya buat. Saya buat ikhlas untuk bola sepak, tidak ada kepentingan. Lagi sekali, kenyataan itu andaian masing-masing, jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa.
“Sudah semestinya (beri kerjasama). Pihak berkuasa ada kuasa, nak panggil siapa pun boleh tidak ada masalah,” katanya.
Dalam tempoh seminggu, tiga pemain tempatan diserang oleh individu tidak dikenali bermula dengan Akhyar Rashid di Terengganu sebelum Faisal Halim di simbah Asid pada Ahad lalu.
Terbaharu, bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim berdepan detik cemas apabila cermin keretanya dipecahkan menggunakan tukul dalam kejadian di Jalan Seri Gelam menghala Pantai Lido, di Johor Bahru.
Hamidin juga mengakui yang FAM kini berdepan tanggungjawab mandatori untuk membersihkan nama Malaysia selepas isu keganasan terhadap pemain ini turut mendapat perhatian daripada media antarabangsa.
“Kita kena terima hakikat, sudah tentu kita tidak mahu perkara tidak baik berlaku. Kita perlu atasi masalah ini, selebihnya kita serah kepada pihak berkuasa untuk siasat.
“Kita pulihkan sama-sama, sama ada peminat, kelab, FAM dan juga MFL (Liga Bolasepak Malaysia (MFL). Kepada peminat, jangan buat spekulasi yang boleh memanaskan lagi keadaan,” katanya. – UTUSAN










