SUBANG JAYA: Ketiadaan Esther Cheah selaku pemain senior tidak mematahkan semangat kem boling negara berikutan rata-rata pemain dalam kedudukan selesa untuk ke final Terbuka Malaysia, hujung minggu ini.
Jurulatih skuad wanita kebangsaan, Wendy Chai berkata, anak-anak buahnya berada dalam kedudukan yang selamat untuk bertarung di peringkat final pusingan pertama.
Bagaimanapun, barisan pemain Siti Safiyah Amirah, Natasha Roslan, Nora Lyana Nastasia dan Sin Li Jane masih menjalani peringkat kelayakan untuk berada di tiga teratas bagi melangkau aksi final pusingan pertama.
“Sejauh ini, Siti Safiya beraksi baik sejak hari pertama pertandingan. Kemudian Natasha tidak begitu baik pada awal. Dia (Natasha) menang dengan beberapa perubahan pada bola yang kami letakkan untuknya.
“Nora, saya melihat dengan kecepatan bola dan keteapatan dia sangat bagus. Dia raih banyak mata dengan lebih baik daripada sebelum pertandingan ini.
“Dia mempamer aksi memberangsangkan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Pada Terbuka Malaysia tahun lalu, Lavinia Kho merangkul pingat emas manakala Nora Lyana membawa pulang gangsa.
Dalam pada itu, Nora mengakui kejohanan kali ini sukar bersaing dengan Sweden yang ada antaranya juara dunia.
Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu kekal bermain di peringkat kelayakan untuk menghuni di kedudukan tiga teratas supaya melangkau ke peringkat akhir pusingan kedua.
“Tahun ini saingan lebih ramai dan juga banyak pemain antarabangsa. Saya harap dapat bertahan di podium ataupun mengaut pingat emas kali ini.
“Sejujurnya pencabar utama dari Singapura. Namun kali ini, Sweden, Filipina turut menyertai kejohanan kali ini. Itu tidak mematahkan semangat saya untuk mempertahankan gelaran saya di podium,” kata Nora.
Nora kini menghuni carta ketiga pusingan kelayakan dengan 1,403 mata manakala Siti Safiyah selesa mendahului dengan 1,421 mata serta di tempat kedua, Natasya 1,405 mata.
Skuad boling negara masih menjalani aksi kelayakan untuk merebut 10 tempat teratas untuk mara ke final pusingan pertama manakala tiga teratas akan melangkau pusingan pertama untuk berentap di peringkat akhir pusingan kedua, Ahad ini. – UTUSAN










