Harimau Malaya rangka persiapan terbaik

Harimau Malaya rangka persiapan terbaik

HAMIDIN MOHD AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya akan membuat persiapan terbaik sebelum menentang Kyrgyzstan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada awal bulan depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya ketika ini sedang mengatur perlawanan persahabatan termasuk dengan pasukan Liga Super.

Menurut Hamidin, beliau juga sudah mengadakan perbincangan dengan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk mengatur satu aksi pemanas badan dalam negara.

“Pan Gon kalau boleh dia mahukan satu perlawanan dengan negara atau kelab di sini. Kalau kita lihat kalendar FIFA bermula pada 3 atau 4 hingga 11 Jun. Saya rasa agak susah untuk mendapatkan pasukan pada hujung bulan Mei sebelum ke Kyrgyzstan.

“Kita cuba untuk dapatkan tapi kalau tiada, KPG akan berdepan kelab (Liga Super) sebagai aksi pemanas badan bagi pasukan kebangsaan,” jelasnya ketika ditemui pemberita, kelmarin.

Dalam dua aksi terakhir peringkat Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Harimau Malaya tumbang dengan jumlah jaringan yang sama 0-2 kepada Oman dalam aksi di Muscat dan juga di laman sendiri.

Kekalahan itu dikatakan berpunca daripada persiapan kurang rapi skuad kendalian Pan Gon selepas pemain dikumpulkan dalam saat akhir selain kurang cergas ekoran saingan Liga Malaysia (Liga M) berehat panjang.

Malaysia kini menghuni tangga ketiga Kumpulan D selepas empat perlawanan dengan enam mata dengan misi ajaib ditagih oleh Pan Gon untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan layak secara merit sekali lagi ke Piala Asia.

Harimau Malaya akan berdepan Kyrgyzstan pada 6 Jun ini di Bishkek dan menentang Taiwan pada 11 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN