LONDON: Chelsea memulakan langkah pembaharuan selepas melepaskan pengendalinya Mauricio Pochettino dalam persetujuan bersama semalam.
Susulan itu, tujuh nama pengganti Pochettino mula jadi sebutan antara paling popular ialah Kieran McKenna dari Ipswich Town dan Enzo Maresca yang pernah menjadi pembantu kepada Pep Guardiola dan memimpin Leicester City.
Pochettino mengambil keputusan meninggalkan Chelsea selepas semusim membawa The Blues menamatkan saingan liga di tempat keenam musim ini.
Selepas berhempas pulas mencari kedudukan terbaik di akhir musim, Chelsea masih gagal ke saingan Liga Juara-Juara dan tanpa sebarang gelaran juara.
“Chelsea FC boleh mengesahkan pihak kelab dan Mauricio Pochettino telah mencapai kata sepakat berhubung perkara ini,” menurut Chelsea.
Sejak dua tahun dikuasai konsortium Amerika, LA Dodgers yang dimiliki Todd Boehly dan sebuah syarikat persendirian, Clearlake Capital, Chelsea telah membelanjakan lebih 1 bilion pound untuk membeli pemain-pemain baharu.
Pelaburan besar itu dibuat hanya untuk membeli pemain yang sedang meningkat naik dan Pochettino menjadikan alasan faktor pemain kurang berpengalaman di samping masalah kecederaan menyumbang kepada prestasi turun naik Chelsea.
Tewas 1-0 kepada Liverpool dalam final Piala Liga dan tewas kepada Manchester City pada separuh akhir Piala FA melenyapkan impian Chelsea, namun lima kemenangan berturut-turut di penghujung musim memberi harapan kepada The Blues untuk layak ke saingan Eropah musim depan.
Chelsea akan layak bersaing di Liga Europa sekiranya Manchester United tewas kepada Manchester City dalam final Piala FA dan The Blues berpeluang ke Liga Konferens jika The Red Devils menewaskan juara Liga Perdana Inggeris itu.
“Terima kasih kepada pemilik Chelsea kerana memberi peluang kepada saya menjadi sebahagian daripada sejarah kelab ini. Kedudukan kelab ketika ini di atas landasan untuk bersaing dalam Liga Perdana dan di pentas Eropah selepas ini,” kata Pochettino.
Sementara itu, Daily Telegraph melaporkan, Pochettino dan Boehly telah bertemu dalam makan malam Jumaat lalu sebelum mengumumkan keputusan berundur, malah sebelum itu dia juga telah mengadakan rundingan dengan Pengarah Sukan Chelsea, Laurence Stewart dan Paul Winstanley.
Mail Sports dalam laporannya turut mengaitkan keputusan Pochettino berundur daripada Chelsea bersangkutan dengan penilaian prestasi yang dibuat Stewart dan Winstanley terhadap jurulatih dari Argentina itu.
“Mewakili semua pihak di Chelsea, kami ingin menzahirkan rasa terima kasih kepada Mauricio sepanjang tempoh perkhidmatannya pada musim lalu.
“Beliau boleh kembali ke Stamford Bridge pada bila-bila masa dan kami mengucapkan selamat maju jaya dalam karier kejurulatihannya,” kata Stewart dan Winstanley dalam satu kenyataan. – AGENSI/UTUSAN










