PETALING JAYA: Permintaan untuk mengambil alih Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) telah disuarakan sekian lama oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak beberapa tahun sebelum ini.
Persoalannya wajarkah untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD ‘diserahkan’ terus kepada FAM untuk dikendalikan atau lebih baik hanya bekerjasama?
Ketika ini, program terbabit memiliki beberapa pemegang taruh seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga FAM khusus untuk pembangunan bola sepak akar umbi.
Legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani berpendapat, beliau tidak kisah untuk mana-mana pihak mengendali AMD kerana yang paling penting adalah mencapai objektif utama iaitu memastikan bola sepak negara berada di tahap terbaik serta melahirkan bakat-bakat baharu.
Jelasnya, program NFDP yang telah ditubuhkan pada 2014 telah lama berada di bawah kendalian KBS maka tidak perlu dijadikan isu, sebaliknya lebih baik bersama-sama bekerjasama demi pembangunan bola sepak negara.
“Untuk saya tidak kisah siapa yang mengendali AMD, paling penting objektif utama adalah memastikan bola sepak kita terus maju.
“Kalau kita lihat sepanjang program NFDP, ramai bakat-bakat muda telah dilahirkan. Tetapi tidak salah juga kalau nak diletakkan bawah FAM mungkin ada pro dan kontra.
“Apa pun yang lebih baik adalah saling bekerjasama kerana itu lagi bagus apabila masing-masing memberi idea demi bola sepak Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Terdahulu, FAM mahu AMD diserahkan kepada badan induk itu bagi membolehkan pembangunan akar umbi dilaksanakan secara strategik.
Ia disuarakan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, beliau akan menemui Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi menyuarakan perkara tersebut agar ia dapat direalisasikan.
Hamidin berkata, FAM mempunyai perancangan khusus untuk AMD termasuk membawa pasukan pakar dari luar negara untuk menjaga secara keseluruhan pemain dalam program berkenaan.
Dalam pada itu, bekas pemain kebangsaan Rudie Ramli turut bersependapat dengan Hassan berkata, program berkenaan sudah lama dibawah KBS dan ‘dilahirkan’ oleh mereka.
Justeru, lebih baik dikekalkan tetapi beliau juga tidak menolak jika memberi peluang kepada FAM untuk menguruskan yang kemungkinan memiliki ‘resipi’ tersendiri.
“Perkara ini adalah subjektif jadi sesiapa sahaja yang mengendali program ini sebenarnya tiada masalah.
“Lebih baik bekerjasama sahaja kerana itu lebih baik kerana pengurusan AMD telah lama dan diuruskan dan tersusun. Tetapi jika FAM uruskan mungkin juga mereka ada perancangan tersendiri…bagi saya perkara penting yang perlu diutamakan adalah melahirkan seberapa banyak pemain berbakat,” ujarnya. – UTUSAN










