SHAH ALAM- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyeru semua pihak untuk bersama badan induk itu memulihkan imej sukan tersebut di negara ini yang mungkin dipandang serong oleh masyarakat antarabangsa.
Presidennya, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, apa yang berlaku ketika ini adalah satu situasi yang tidak dijangka oleh mana-mana pihak, termasuk FAM.
“Hal ini tidak pernah berlaku dalam sejarah bola sepak Malaysia, namun kita harus menerima hakikat kerana (jenayah melibatkan tiga pemain negara) sudah berlaku.
“Kita perlu atasi masalah ini. Jadi saya seru semua pihak, sama ada pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL), persatuan bola sepak negeri, media dan peminat untuk bersama-sama FAM agar imej bola sepak Malaysia kembali dilihat baik,” katanya selepas melawat pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim di sebuah hospital swasta di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hamidin meminta semua pihak menghentikan spekulasi berhubung kejadian yang menimpa Faisal, Akhyar Rashid dan Safiq Rahim termasuk tuduhan ‘surat layang’ terhadap FAM dua bulan lalu.
Menurutnya, semua pihak perlu memberikan ruang kepada pihak polis untuk menyiasat ketiga-tiga kes tersebut sehingga selesai.
“Insya-Allah, kesemua liga bola sepak yang dikelolakan MFL termasuk Liga Super pada musim ini akan berlangsung dengan selamat dan jayanya.
“Kerajaan sudah memberi jaminan bahawa polis akan mempertingkatkan pemantauan mereka supaya setiap pemain selamat,” tegasnya. – UTUSAN










