PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) diserahkan kepada badan induk itu bagi membolehkan pembangunan akar umbi dilaksanakan secara strategik.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, beliau akan menemui Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi menyuarakan perkara tersebut agar ia dapat direalisasikan.
Hamidin berkata, FAM mempunyai perancangan khusus untuk AMD termasuk membawa pasukan pakar dari luar negara untuk menjaga secara keseluruhan pemain dalam program berkenaan.
“Orang kata kita gagal rancang (pembangunan), tetapi kena ingat Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan AMD ini bukan bawah kita (FAM). Tetapi, semua peminat salahkan kita (bila gagal di Piala Asia B-23).
“Saya berpendapat, AMD patut serah kepada FAM untuk jaga, bila serah kita boleh bawa pasukan elit jaga, ambil pasukan daripada luar negara. Tetapi itu memerlukan bajet, kalau tiada bajet pun susah.
“Sebelum ini, AMD dapat (bajet) daripada kerajaan. Saya akan cakap dengan menteri, biar menteri tengok perkara ini” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Jawatankuasa Pemandu NFDP mengumumkan pelantikan Oscar Francisco Gonzalez sebagai pengarah teknikal berkuatkuasa 21 April lalu.
Majlis Sukan Negara (MSN) menjelaskan, Oscar yang turut diberikan tanggungjawab selaku Pengarah Teknikal AMD diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan Hannah.
Bekas ketua Pendidikan Kejurulatihan Persatuan Bolasepak Australia (AAFC) itu dipilih hasil cadangan FAM setelah empat calon yang disenarai pendek pada 13 Disember tahun lalu.
Untuk rekod, FAM pernah bekerjasama dengan NFDP untuk menubuhkan skuad projek FAM-MSN yang bersaing dalam Liga Premier pada 2021 dan 2022 selain turut beraksi dalam Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) musim lalu. – UTUSAN










