PETALING JAYA: Lincah tetapi tidak bahaya, malah sukar menjaringkan gol menentang lawan.
Itu yang boleh digambarkan dengan penampilan skuad bawah 23 (B-23) dalam dua aksi kempen peringkat Kumpulan D Piala Asia B-23 yang sedang berlangsung di Qatar.
Kelmarin skuad kendalian Juan Torres Garrido tumpas 0-2 kepada Vietnam, kekalahan kedua di peringkat kumpulan selepas rebah kepada Uzbekistan dengan jaringan yang sama sebelum ini sekali gus menutup peluang untuk mara lebih jauh dalam kejohanan itu.
Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, skuad B-23 seolah-olah memberi harapan palsu kepada peminat bola sepak tempatan sebelum bertandang ke Qatar.
“Skuad negara pergi ke Qatar dengan keyakinan tinggi boleh mara ke pusingan seterusnya, tetapi apa yang boleh kita tengok, mereka perlu belajar banyak perkara lagi, orang kata lincah tetapi tidak bahaya.
“Kita ada peluang tetapi secara keseluruhan kita tidak seimbang, bahagian bawah melakukan kesilapan dan berikan gol mudah kepada pihak lawan. Ini menggambarkan pasukan kita tidak cukup persediaan.
“Maksudnya, macam tiada program pembangunan di Malaysia yang boleh bawa skuad muda negara ke peringkat lebih jauh. Setiap kali sertai kejohanan besar kita terkandas dan gagal. Sama juga dengan senior, jadi kita mahun harapkan pasukan mana?.
“Kita kena fikirkan semula, apa akan jadi dengan masa depan bola sepak negara. Di peringkat B-23 kita tidak boleh harapkan pemain yang ada dan skuad senior pula kita harapkan pemain warisan dan naturalisasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Pekan, dengan adanya Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari sebelum ini, Malaysia sepatutnya mempunyai pasukan B-23 yang l mampu memberi cabaran.
“Produk-produk program pembangunan ini sepatutnya boleh kumpulkan pemain tempatan yang solid. Namun, apa yang kita lihat sekarang sangat mengecewakan dan seolah-olah ada sesuatu yang terjadi yang menyebabkan kita gagal,” katanya. – UTUSAN










