PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan untuk melakukan rombakan terhadap skuad bawah 23 (B-23) negara ekoran prestasi hambar dalam kempen Piala Asia B-23 di Qatar.
Skuad kendalian Juan Torres Garrido itu menerima kritikan berikutan persembahan yang ditunjukkan dalam kejohanan tersebut selepas gagal meraih sebarang mata malah menduduki tangga tercorot Kumpulan D.
Bagaimanapun, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mahu melihat perkara tersebut secara holistik serta menunggu laporan penuh daripada Pengarah Teknikal, Scott O’Donell dan Torres Garrido.
“Kemungkinan akan ada rombakan dalam skuad B-23, untuk bagi adil kita akan dapatkan penjelasan.
“Jurulatih telah berjumpa dengan saya dan sekarang kami tengah menunggu laporan daripada pengarah teknikal yang kini berada di Qatar dan juga laporan jurulatih B-23, dalam minggu ini akan siap (laporan).
“Selepas itu saya akan lihat laporan tersebut dan mengadakan secepat mungkin untuk melihat dan mendengar dahulu tentang prestasi pasukan secara keseluruhan di kejohanan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Bagaimanapun, Hamidin berkata, melihat kepada trend perkembangan skuad B-23 negara, pasukan itu telah menunjukkan peningkatan apabila muncul 16 pasukan terbaik di Asia dengan layak ke Kejohanan Piala Asia B-23.
“Sebelum ini kita jarang muncul 16 pasukan terbaik, malah tidak layak pun. Bagaimanapun, selepas sudah masuk ke pusingan 16 terbaik sudah tentu kita mahukan kemenangan,” katanya. – UTUSAN










