PETALING JAYA: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memaafkan pihak yang melakukan tohmahan terhadap dirinya.
Noor Azman menjadi individu paling banyak disebut dalam surat layang yang mendakwa mengenai kelemahan urus tadbir FAM.
Untuk tidak mengeruhkan keadaan, beliau juga tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan, namun mengambil pendekatan untuk memaafkan pihak terbabit meskipun dakwaan itu adalah satu fitnah apatah lagi dilakukan dalam tempoh 10 malam terakhir Ramadan.
“Reaksi saya cuma satu kerana tohmahan itu banyak kepada saya, saya tak mahu komen dalam 10 malam terakhir Ramadan tetapi saya maafkan apa sahaja tohmahan dan fitnah itu.
“Saya takut kalau dia kemalangan dan mati, tidak dapat cari saya di akhirat. Jadi kenyataan saya, saya memaafkan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada saya itu.
“Selebihnya, saya serahkan pada FAM,” kata Noor Azman pada sidang media selepas Kongres FAM ke-60, kelmarin.
Terdahulu, surat layang yang menjadi tular mendakwa Noor Azman tidak memenuhi tugas yang sudah diamanahkan kepada beliau sebagai Setiausaha Agung FAM.
Pihak yang menerbitkan surat layang itu turut berpendapat Noor Azman lebih cenderung kepada aktiviti politik berbanding menjalankan tanggungjawab.
Selain itu, penulis surat berkenaan turut mendakwa Noor Azman tidak memiliki idea untuk pengiklanan dan pemasaran dengan hanya mengharapkan kakitangan pemasaran untuk mencari duit dan membuat program yang tidak masuk akal.
Dalam pada itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai satu tohmahan dan menyerang peribadi.
Hamidin menegaskan, dakwaan membabitkan isu rasuah dan salah guna kuasa presiden dan setiausaha agung dilihat datang daripada seorang individu ataupun lebih yang memiliki rasa tidak puas hati dengan kepemimpinan tertinggi badan induk berkenaan. – UTUSAN










