PETALING JAYA: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal mendedahkan adik-beradik pemain hoki kebangsaan, Faizal Saari dan Fitri Saari menjadi ancaman terbesar buat skuad hoki Pakistan menjelang Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024.
Beliau berkata, Persekutuan Hoki Pakistan (PHF) hampir mengenal pasti dua pemain utama itu menjadi cabaran terbesar dalam usaha mengatasi Speedy Tiger memburu gelaran juara PSAS.
Bagaimanapun, Subahan menegaskan, beliau mahu melihat Speedy Tigers bermain dengan semangat berpasukan dan pemain tidak menganggap diri mereka digeruni.
“Saya akui masalah pasukan Malaysia ialah konsisten. Kadang kala kami bermain seperti juara dan sebaliknya macam kami tidak pernah bermain hoki. Jika kita lihat pada Piala Asia kami bermain dengan bagus namun ketika di Sukan Asia sememangnya tidak memberangsangkan.
“Pasukan Malaysia mempunyai bakat dan potensi besar, bukan sahaja Faizal dan Fitri. Saya hanya mahu memastikan Sarjit Singh (jurulatih kebangsaan) melatih mereka supaya menjadi yang terbaik sepanjang masa.
“Saya akui adik-beradik Saari itu bermain dengan bagus namun saya harus tekankan pasukan luar harus gerun akan Speedy Tigers, bukan hanya mereka,” katanya.
Secara purata umur pasukan Pakistan ialah 24 tahun dan PHF mendedahkan mereka optimis untuk menjadi juara kejohanan terbabit.
Dalam pada itu, Subahan mengakui bahawa Pakistan merupakan pasukan yang perlu diberi perhatian menjelang saingan PSAS bermula.
Bagaimanapun, kelemahan Pakistan hanya pada masalah kewangan mereka menyebabkan perpecahan dalam kalangan ahli PHF.
“Saya takut kepada seluruh pasukan mereka. Mereka pasukan yang mampan dan mampu meningkatkan permainan secara mendadak,” ujar Subahan
Pakistan kini menghuni di tangga ke-15 dunia dengan 1775.78 mata manakala Speedy Tigers berada dua anak tangga atas dengan 1928.27 mata. – UTUSAN










