Langkah Aira disekat di El Gouna

Langkah Aira disekat di El Gouna

AIRA Azman (kiri) sewaktu beraksi menentang Georgina Kennedy pada peringkat 16 terbaik Kejohanan Skuasy Antarabangsa El Gouna di El Gouna, Mesir, semalam. - IHSAN PSA WORLD TOUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Aira Azman terhenti pada pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Antarabangsa El Gouna selepas tewas kepada bintang No. 6 dunia, Georgina Kennedy di Mesir.

Sekalipun pemain berusia 19 tahun itu tewas 8-11, 5-11, 6-11 pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Skuasy El Gouna, Kennedy, 27, yang memiliki pengalaman lebih luas memuji pemain muda Malaysia itu.

Bintang England itu berkata, Aira seorang pemain yang berbahaya dan memiliki kemahiran yang sangat bagus.

“Saya memang amat berharap pertemuan ini berlangsung di gelanggang luar (outdoor) kerana sebelum ini setiap kali saya bermain di gelanggang luar saya perlu berdepan lawan yang kuat dan ia tidak menyeronokkan.

“Saya ingin mencari sedikit keyakinan di gelanggang seperti ini dan mujur saya mampu bermain dengan baik menentang pencabar yang berbahaya seperti Aira,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan, semalam.

Kennedy memberitahu, Aira memiliki kemahiran yang sangat bagus dan seorang pemain yang mempunyai rentak permainan tersendiri yang berjaya disalurkan ke dalam permainannya.

Pujian Kennedy tersebut bukan sekadar hendak menjaga hati Aira, tetapi, bekas naib juara remaja dunia itu sememangnya memiliki bakat semula jadi yang sejak awal telah dikenal pasti oleh Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

Malah, nama Aira juga disenaraikan SRAM ke dalam program Fast Track Road To Gold (RTG) bagi mempersiapkan pemain itu untuk Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Aira yang juga merupakan juara remaja Asia, hanya memerlukan rentak yang lebih konsisten untuk memperbaiki rankingnya dan mara sejauh peringkat 16 terbaik dalam penyertaan sulungnya pada kejohanan berstatus Platinum itu adalah satu pencapaian yang positif.

Menjelang Kejohanan Dunia yang akan diadakan di Kaherah, Mesir pada 9-17 Mei ini, pertandingan di El Gouna menjadi satu persiapan terbaik Aira untuk membina keyakinannya selepas melakukan dua kejutan ke atas pemain yang menghuni ranking lebih tinggi pada pusingan pertama dan kedua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×