Jawatan Presiden FAM terbuka untuk pertandingan – Hamidin

Jawatan Presiden FAM terbuka untuk pertandingan – Hamidin

HAMIDIN MOHD. AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terbuka untuk sesiapa sahaja yang mahu bertanding mana-mana jawatan termasuk kerusi presiden badan induk bola sepak itu.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, beliau bersifat terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu bertanding bagi mana-mana jawatan mengikut peraturan badan tersebut.

Katanya, setiap individu mempunyai pandangan berbeza dan menjemput mana-mana individu yang berkelayakan untuk bertanding kerusi No. 1 persatuan itu mengikut perlembagaan FAM.

“Saya fikir itu pandangan beliau (Khairy Jamaluddin). Apa-apa pun kita buat kita tidak boleh da­ripada perlembagaan. Sesiapa pun boleh bertanding, tiada masalah.

“Saya tidak kisah. Saya terbuka dan FAM pun terbuka untuk sesiapa yang mahu bertanding bagi mana-mana jawatan mengikut peraturan.

“Saya tidak berkecil malah saya sangat berfikiran terbuka. Saya terima apa sahaja kritikan daripada netizen. Mana yang baik saya ambil,” kata Hamidin selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-209 di sini, semalam.

Hamidin mengulas kenyataan Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu yang me­nyarankan FAM melakukan rombakan terhadap tampuk kepimpinan badan induk tersebut.

Dalam perkembangan bera­singan, Hamidin turut memaklumkan, FAM menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap badan induk tersebut.

“Kita tunggu pihak berkuasa buat kenyataan. Jangan tuduh FAM buat salah, biar pihak berkuasa menjalankan siasatan terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial surat layang yang membangkitkan isu penyalahgunaan kuasa, gaji, manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Putrajaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN