PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri akan memberi fokus utama kepada latihan persiapan ke Sukan Olimpik Paris.
Izzah yang layak secara tidak rasmi ke Paris selepas menduduki tempat kelapan dalam acara keirin berkata, pada masa ini latihan menjadi fokus utama kerana perlumbaan kelayakan mata Olimpik sudah tamat.
“Saya akan tunggu apa arahan selanjutnya daripada jurulatih. Sebelum ini tiada siapa yang jangka saya layak ke Paris. Maka itu menjadi motivasi saya untuk berusaha keras. Orang tidak nampak usaha saya selama ini dan inilah hasilnya walaupun ia mengambil masa yang agak lama.
“Saya tidak sangka mampu ke pusingan seterusnya di Kanada dalam acara keirin kerana kelayakan pecut, saya terkilan kerana tidak dapat perbaiki masa saya.
“Jadi saya berkata kepada diri bahawa saya mahu tampil dengan baik dalam acara itu,” katanya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tiba dari Milton, Kanada, semalam.
Izzah akan mengiringi Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus ke temasya empat tahun sekali itu menerusi acara keirin dan pecut.
Sementara itu, dia turut bangga menjadi wanita pertama mewakili Malaysia dalam acara berbasikal trek sejak Fatehah Mustapa.
“Saya sangat gembira dengan pencapaian saya. Saya tidak sangka saya boleh melakukannya, tetapi apabila saya berjaya ke pusingan kedua, pasukan lain mula mengucapkan tahniah kepada saya.
“Walaupun hanya mendapat tempat kelapan (UCI Kanada), saya tidak pulang dengan tangan kosong, jadi ia amat bermakna. Ini adalah satu pencapaian besar buat saya,” katanya.
Nama Izzah meningkat naik selepas mengaut dua emas menerusi acara keirin dan pecut 500 meter (m) pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di India, Februari lalu.
Pada saingan Piala UCI di Milton minggu lalu, Izzah sedikit hambar selepas terkandas pada pusingan pertama menerusi acara pecut dan meraih tempat kelapan dalam acara keirin selepas mara ke final bagi tempat ketujuh hingga ke-12. – UTUSAN










