PETALING JAYA: Kekalahan berturut-turut kepada Oman dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara puncanya disebabkan persiapan cacamerba kem latihan skuad Harimau Malaya.
Begitupun, kesilapan itu enggan diulang kembali dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu memastikan Harimau Malaya lebih bersedia sebelum aksi kelayakan berkenaan Jun depan.
Malaysia mempunyai misi besar iaitu wajib mencatatkan kemenangan dalam dua baki perlawanan Kumpulan D menentang Kyrgyzstan di gelanggang lawan pada 6 Jun sebelum aksi terakhir melayan kunjungan Taiwan di halaman sendiri, 11 Jun.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, semua pihak berkaitan termasuklah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) peka dengan perlawanan membabitkan Harimau Malaya sekali gus akan cuba memberi ruang dan peluang kepada pengendali skuad kebangsaan Kim Pan Gon melakukan persiapan rapi.
Jelasnya, keputusan tidak menyebelahi skuad Harimau Malaya dengan tewas dua perlawanan kepada Oman memberi pengajaran bermakna membabitkan persiapan pasukan kebangsaan apabila mengharungi penting tersebut.
Setakat ini Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan belum bersidang, namun beliau yakin akan ada perancangan terbaik bakal dilakukan untuk Harimau Malaya.
“Memang menuju ke Jun ini kita perlu berdepan pasukan yang kuat. Walaupun kita pernah mengalahkan Kyrgyzstan tetapi mereka pasti lebih yakin untuk kalahkan kita di tempat sendiri yang mana mereka juga pernah kalahkan Oman.
“Namun, kita mengharapkan sesuatu berlaku di Kyrgyzstan, tetapi akhirnya terpulang kepada jurulatih untuk menyediakan pasukan terbaik bagi menghadapi perlawanan itu.
“Saya fikir akan ada perbincangan dengan MFL dan MFL pun mungkin tahu benda ini. Saya harap sesuatu dapat dilakukan bagi memberi ruang kepad barisan jurulatih untuk buat persiapan terbaik sebelum ke Kyrgyzstan,” katanya.
Untuk rekod, skuad kebangsaan kini berada di kedudukan ketiga Kumpulan D dengan mengumpul enam mata, Kyrgyzstan dan Oman yang berkongsi sembilan mata menghuni tangga dua teratas manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.
Anak buah Pan Gon memulakan kempen kelayakan pada November tahun lalu dengan cemerlang apabila menewaskan Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) sebelum tewas dua kali dengan jaringan 0-2 kepada pasukan ranking 77 dunia, Oman. – UTUSAN










