MANCHESTER: Manchester City kian hampir mengulangi kejayaan treble ketika persembahan Erling Haaland terus dipertikai menjelang kunjungan Real Madrid yang mahu membalas dendam ekoran tersingkir daripada Liga Juara-Juara musim lalu.
Sebelas bulan lalu, juara Eropah sebanyak 14 kali itu dimalukan 4-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Etihad, malah City mencipta kejutan menjulang trofi Liga Juara-Juara buat pertama kali selain menjuarai Liga Perdana Inggeris dan Piala FA.
Anak-anak buah Pep Guardiola kini hanya dipisahkan 12 perlawanan lagi untuk mengulangi pencapaian musim lalu sekalipun tanpa penyerang Norway itu yang persembahannya jauh berbeza seperti yang dilakukannya musim lalu.
Daripada 38 perlawanan yang telah dilalui musim ini, Haaland menjaringkan 31 gol yang boleh dianggap menakjubkan tetapi dalam tiga pertemuan dengan Real sebelum ini, dia masih belum mampu menembusi gawang lawan.
Pemain berusia 23 tahun itu juga menerima kecaman hebat ekoran persembahannya yang tidak menentu.
Bekas pemain pertahanan Liverpool,.jamie Carragher sebelum ini melabelkan Haaland sebagai pemain mewah dan bukan pemain bertaraf dunia.
Malah, bekas bintang Manchester United, Roy Keane turut memperlekehkan pemain itu dengan menyamakan kemampuannya seperti pemain liga kelas bawahan.
Haaland juga dikritik kerana gagal menjaringkan gol dalam dua pertemuan dengan Real di Santiago Bernabeu dan yang terbaharu pertemuan pertama suku akhir yang berakhir dengan seri 3-3.
Dia bagaimanapun boleh menafikan semua tohmahan terhadapnya dengan memastikan pasukannya mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara sekali gus berpeluang untuk mencuba nasib dalam Anugerah Ballon d”Or selaku pemain terbaik.
Bagi Guardiola, bukan Ballon d’Or yang menjadi keutamaan ketika ini tetapi usaha memenangi trofi sepertimana yang dilakukan ada musim lalu.
“Sasaran kami bukan Ballon d’Or tetapi trofi dan dia berjaya melakukan musim lalu. Adakah kami mampu menang lima trofi tanpa dia musim lalu? Mungkin tidak,” kata Guardiola.
Guardiola juga percaya penyerang prolifiknya itu memberi tekanan kepada Real sehingga memberi ruang kepada Phil Foden dan Josko Gvardiol mencuri peluang terhidang untuk merobek gawang lawan.
“Dia membantu mewujudkan lebih banyak ruang kosong. Dia juga mencipta peluang untuk rakan sepasukan menjaringkan gol dan dia nampak gembira,” katanya. – AFP/UTUSAN











