PETALING JAYA: Bagi mempertingkatkan tahap keselamatan atlet paralimpik negara, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bercadang untuk mengenakan pemakaian alat pengesan sepanjang temasya Sukan Paralimpik Paris berlangsung pada 28 Ogos hingga 9 September ini.
Cadangan itu muncul selepas presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Paralimpik Asia di China pada Mac lalu dan akan membentangkannya di hadapan penganjur temasya itu pada Jun ini.
Katanya, MPM sudah bertemu dengan dua syarikat yang bersedia untuk menaja alat pengesan tersebut sekiranya diluluskan penganjur dan atlet tidak perlu memakainya jika bertanding di temasya tersebut.
“Kita memantau pergerakan atlet terutamanya jika mereka tersingkir awal, mereka ada lapan hari jadi kami tidak mahu mereka keluar ke mana-mana tanpa hala tuju.
“Ini bukan bermakna atlet tidak bermakna atlet tidak dibenarkan keluar (selain ke venue pertandingan) tetapi untuk kontinjen Malaysia kita mengambil langkah berjaga-jaga.
“Bayangkan jika tiba atlet kita tidak balik ke asrama dan mereka keciciran duit dan telefon pun tiada, jadi bagaimana mereka mahu pulang ke asrama?
“Jadi, kami akan bentangkan perkara ini dalam mesyuarat bersama penganjur pada Jun nanti untuk mendapatkan kelulusan. Apa sahaja keputusan diperoleh kami terima,” kata Megat di sini semalam.
Megat ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup Projek Rimau Emas di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, semalam.
Mengulas lanjut mengenai program tersebut, Megat berkata, itu merupakan inisiatif badan induk tersebut dalam mencungkil bakat baharu dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWKL) dan Persatuan Olahraga Para Kuala Lumpur (POPKL).
“Kesemua pelajar ini datang dari sekolah pendidikan khas di Kuala Lumpur yang dipilih oleh JPWKL dan mereka akan dibawa ke MPM. Di sini kami sediakan kemudian teknikal untuk membentuk mereka menjadi atlet. – UTUSAN










