Abdul Latif buru emas kelima kejohanan dunia

Abdul Latif buru emas kelima kejohanan dunia

latif
ABDUL Latif Romly mahu memecahkan rekod dunia milkinya di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly tekad mahu memburu pingat emas kelima pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Jepun, bulan depan.

Pemburuan pingat ini sangat penting buat Abdul Latif yang mana menjadi pemangkin semangat beliau untuk memburu hatrik pada pentas Sukan Paralimpik Paris 2024.

“Kejohanan dunia ini acara yang besar buat saya tahun ini untuk melihat dan menilai prestasi saya menjelang temasya di Paris nanti.

“Saya meletakkan sasaran lompatan sekitar lebih 7.5 meter (m). Andai dapat mencipta jarak ini dan raih pingat emas, sememangnya saya yakin ketika beraksi di Paralimpik nanti,” katanya.

Terdahulu, Abdul Latif bergelut dengan kecederaan di pangkal paha ketika beraksi di kejohanan dunia di Paris tetapi beliau masih mampu meraih pingat emas.

Atlet kelahiran Perlis itu kini dalam 90 peratus pulih sepenuhnya dan mahu berhati-hati ketika latihan supaya tidak menjejaskan misi beliau mendapatkan emas Mei ini.

“Sekarang saya cuba mendapatkan semula otot-otot saya yang hilang ketika sesi pemulihan. Semasa tempoh pemulihan saya kehilangan kira kira 2 kilogram (kg) otot. Itu amat merugikan saya.

“Jurulatih memberitahu saya bahawa saya mempunyai tempoh untuk membentuk semula otot-otot saya menjelang kejohanan dunia dan Paralimpik di Paris,” ujar Abdul Latif.

Untuk rekod, atlet berusia 27 tahun itu mengungguli pingat emas ketika Sukan Paralimpik di Brazil (2016) dan Jepun (2020).

Selain Paralimpik, beliau turut mengaut emas di Kejohanan Olahraga Para Dunia pada edisi 2015 (Doha), 2017 (London), 2019 (Dubai) dan 2023 di Paris. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN