KUALA LUMPUR: Biarpun ketiadaan pemain import, Pasukan Hoki Terengganu (THT) berkeras mahu mempertahankan kejuaraannya serta mahu menghancurkan impian Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam misi memburu kejuaraan treble pada aksi Final Piala TNB, hari ini.
Pentas final ini merupakan satu-satunya peluang tunggal THT untuk menjulang satu trofi pada musim ini selepas TNB mudah membolot dua piala iaitu Piala Sumbangsih dan Piala Liga Hoki Malaysia (MHL).
Kapten THT, Fitri Saari berkata, beliau bersama rakan sepasukannya tekad mahu mempertahankan kejuaraannya musim lalu untuk mengatasi TNB yang dianggap pasukan pilihan dengan pemainnya beraksi cemerlang sejak kebelakangan ini.
“Saya akui THT pasukan ‘underdog’ pada saingan musim ini dan sememangnya TNB pasukan yang kuat yang juga pilihan utama.
“Dihadiri pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun yang pakar dalam pukulan sudut jelas memberi satu jalan yang sukar kepada kami .
“Namun, ini perlawanan final, kami sudah berusaha keras untuk sampai ke sini (final) dan cuba merebut kejuaraan ini daripada TNB untuk pertahankan kejuaraan kami,” katanya ketika sidang media bersama Jawatankuasa Pertandingan Konfiderasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Sri Dr. Anil Sandhu, di sini hari ini.
Sehubungan itu, pengendali TNB, Nor Saiful Zaini mengakui bahawa perlawanan akhir kali ini paling sukar untuk mereka menyahut cabaran.
Beliau berkata, rata-rata pemain TNB dan THT bermain untuk skuad hoki kebangsaan atau lebih dikenali sebagai ‘Speedy Tigers’ dimana mereka mempunyai corak permainan sama antara satu sama lain.
“Ini merupakan final yang ketiga berturut-turut kami bertemu dengan THT. Sudah tentu kami antara satu sama lain masing-masing sudah mengetahui corak permainan.
“Seperti anda tahu, kami (TNB) dan THT sebahagian pada mereka bermain untuk kebangsaan dan mereka kebiasaannya berlatih sekali.
“Pada saya ianya bukan satu perlawanan yang mudah, hanya kesilapan kecil dalam permainan esok mampu memisahkan kami menjadi juara dan naib juara,” katanya.
Semalam, THT beraksi cemerlang menempah nama ke final selepas menewaskan Maybank 3-1 menerusi agregat 6-1 pada aksi separuh akhir kedua Piala TNB.
TNB yang meletakkan harapan tinggi pada kejohanan ini turut melakar kemenangan ke atas UITM HA-KPT 5-1 menerusi agregat 8-2.
Dua pasukan itu akan berentap bagi merebut Piala TNB 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada jam 8.30 malam ini. – UTUSAN










