SEBELUM ini, video-video nasihat tentang solat, doa dan ayat-ayat al-Quran dikupasnya sering melintas di dinding laman sosial saya.
Mungkin saya antara individu ‘terlewat’ mengenali Fatin Nabila Ahmad Zainuddin, 26, sedangkan beliau sudah pun diikuti lebih sejuta pengikut di TikTok.
Dalam setiap videonya yang saya tonton, kandungan jelas, mudah difahami, santai dan tidak menjemukan itulah yang paling menangkap perhatian.
Pempengaruh media sosial ini berkata, setiap perkongsian itu, tidak sekadar kandungan atau meraih populariti, sebaliknya, bertujuan menyampaikan mesej tadabbur al-Quran dan kebaikannya kepada seluruh masyarakat tanpa mengira sempadan usia dan geografi.
“Sebagai pejuang anxiety, kitab suci Allah banyak menyumbang kepada proses penyembuhan.
“Apabila mendalami dan menghayati al-Quran, saya dapati banyak perubahan pada diri, di mana jiwa saya jadi lebih tenang, ibadah makin khusyuk dan perspektif hidup juga mulai berubah.
“Tidak keterlaluan dikatakan, saya menemui kebahagiaan yang sukar diungkap dengan kata-kata. Banyak kejayaan menyusul dalam diri saya, termasuklah pengikut TikTok yang melonjak secara tiba-tiba.
“Saya bisik pada hati, tak kan ilmu tadabbur ini hanya dimanfaatkan untuk diri sendiri dan tidak disebar atau dikongsi kepada orang ramai,” katanya.
Bertitik tolak daripada itulah beliau membangunkan aplikasi tadabbur, Empower Quran Global (EQG) pada Ramadan 2022.
Hingga kini ia sudahpun dilanggan lebih 120,000 individu di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat (AS).
“Niat saya untuk mengajak masyarakat mengimarahkan al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Langkah itu sekali gus menepis tanggapan kononnya al-Quran ‘berfungsi’ mengubati hati seseorang yang sedih dan lara sahaja.
“Medium berkenaan merupakan yang paling dekat dan mudah untuk diakses, walau di mana mereka berada.
“Menerusi tadabbur, masyarakat dapat lihat yang amalan membaca dan mendalami al-Quran bukan berkala sifatnya. Besar harapan saya agar satu hari nanti ia dapat menjadi mekanisme penyembuhan dan membentuk matlamat hidup seseorang,” katanya dalam temubual bersama Seri baru-baru ini.
Pada pertemuan itu, Fatin Nabila selesa mengenakan jubah digandingkan dengan selendang polos seperti lazim digayakan dalam video yang dikongsi di media sosialnya.
Solekan tipis yang menata wajahnya menambahkan seri wajahnya yang sememangnya murah dan manis dengan senyuman.
Mudah hayati al-Quran
Pemengang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Komunikasi), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), ini membuktikan latar pendidikan berbeza bukanlah halangan untuknya membangunkan inovasi yang berkiatan keagamaan.
Lebih-lebih lagi amalan tadabbur itu, lazimnya dikaitkan dengan pengajian kitab-kitab yang mendalam dan memakan tempoh panjang.
“Aplikasi EQG ini mudah. Kita boleh menghayati kandungan al-Quran di mana-mana dan pada bila-bila masa.
“Tidak semestinya perlu menelaah kitab-kitab tebal untuk seseorang faham maksud tersirat dalam al-Quran sebaliknya menerusi EQG, suri rumah yang memasak di dapur pun boleh bertadabbur,” katanya.

Tenaga pengajarnya mahir, malah mampu membuat analisis berdasarkan isu sosial semasa.
“Ia penting kerana penyebaran mesej al-Quran perlu mengambil kira tentang kepentingan ummah agar mesej disampaikan melekat dalam jiwa golongan sasar. Ia bertepatan dengan motto, tadabbur untuk jiwa,” katanya.
Beliau bertuah apabila suaminya, Danial Noor yang merupakan lulusan bahasa Arab dari universiti sama merupakan tulang belakangnya menggerakkan inisiatif tersebut.
“Apa yang dimiliki kini adalah daripada sokongan suami yang berkebolehan memahami bahasa Arab.
“Saya bukan lepasan agama dan cuma mengamalkannya sahaja. Sebab itu saya selesa berpenampilan begini agar orang tidak tersalah sangka dengan imej dan latar akademik saya ada,” katanya.
Beliau kini sedang rancak dengan projek Tadabbur Ramadan 2024.
“Konsep kali ini berbeza berbanding dua edisi sebelumnya.
“Tafsiran satu ayat daripada satu juzuk akan dibuat sepanjang sebulan berpuasa.
“Alhamdulillah, dalam masa hanya sebulan, lebih 6,000 orang sudah mendaftar untuk projek tadabbur itu,” katanya.
Penawar stres, anxiety
Walaupun sudah pulih sepenuhnya daripada risau melampau atau anxiety, Fatin Nabila masih meneruskan rutin tadabbur yang menjadi amalannya sejak dahulu.
Katanya, ia bagi mencari ketenangan terutama apabila stres melanda.
“Saya diuji dengan penyakit anxiety pada usia 18 tahun. Sangat serius hinggakan 24 jam diserang ketakutan.
“Dua tahun melalui rawatan, tetapi trauma muncul lagi hingga saya tidak jumpa ketenangan walaupun sudah buat macam-macam cara.
“Akhirnya, seorang guru mengajar tentang tadabbur dan saya teruskan amalan itu hingga perlahan-lahan perspektif hidup berubah serta boleh berfikir secara rasional,” katanya.
Katanya, prinsip as-sabiqun iaitu hamba Allah yang berlumba-lumba membuat kebaikan seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Waqiah dijadikan azimat agar tidak mudah berputus asa dalam hidup.
Jelasnya, untuk mendapatkan kekuatan dalam perkahwinan, kerjaya dan sosial, wanita perlu mengawal emosi dan berfikiran rasional.
Matlamat hidup penting
Fatin Nabila tidak menganggap halangan wanita untuk cemerlang dalam segmen keagamaan berikutan sanjungan masyarakat lelaki.
Sebaliknya, ujarnya wanitalah yang perlu sedar had sempadan gender dan ada ketikanya keadaan memaksa untuk mendahulukan lelaki.
Namun, itu bukan alasan untuk wanita menyerah kalah, sebaliknya teruskan jihad mendidik masyarakat berkaitan hal-hal agama mengikut kemampuan.
“Pada pandangan saya wanita kena ada matlamat jelas kerana ia yang akan menguatkan mereka sepanjang perjalanan sebagai pendakwah.
“Tetapi jangan anggap proses itu mudah kerana Rasullah SAW pun pernah dicaci dan dimaki ketika menyebarkan ajaran Islam dahulu,” katanya sambil berpesan pada diri sendiri untuk sentiasa merendah diri dan tidak alpa dengan ilmu atau kelebihan dimiliki.
Tegasnya seseorang tidak boleh pergi ke mana-mana jika berterusan bangga diri dan rasa terpaling bagus dengan ilmu di dada.
Mengulas isu golongan agama yang sering dikaitkan sebagai penunggang, beliau berkata, maruah atau keinginan peribadi perlu diletak ke tepi sepanjang proses berdakwah.
“Suami selalu berpesan agar jaga proses itu dan fokus untuk memberikan yang terbaik.
“Kalau dijaga elok, insya-Allah hasilnya juga akan baik,” katanya.
Ramadan di Mekah
Ramadan amat bermakna buat pasangan suami isteri ini kerana ia dilalui di tanah suci Mekah.
Fatin Nabila berkata, mereka berangkat ke sana sejak Sabtu lepas.
“Alhamdulillah Allah berikan peluang untuk sekali lagi menunaikan umrah selepas kali pertama secara solo pada Oktober lalu.
“Umrah kami dijadualkan selama 10 hari dan semoga ibadah ini dapat menjadikan kami hamba yang tunduk padaNya dan jujur dalam perhambaan,” katanya.
Ramadan bukan sekadar menahan lapar dahaga tetapi memiliki hikmah sebagai bulan turunnya al-Quran.
“Allah beri kebahagian, ketenangan dan kebaikan dalam setiap perkara kalau mendekatkan diri dengan al-Quran.
“Saya cemburu dengan ulamak terdahulu yang dapat merasai kemanisan Ramadan apabila dekat dengan kitab suci Allah,” katanya.










