PETALING JAYA: Selangor FC akan memulakan musim baharu Liga Malaysia tanpa sentuhan Tan Cheng Hoe selepas jurulatih itu mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontraknya secara serta-merta.
Selangor FC dalam satu kenyataan menjelaskan pasukan sudah dimaklumkan mengenai keputusan Cheng Hoe untuk meninggalkan skuad The Red Giants bagi menggalas tugas sebagai ketua jurulatih di sebuah kelab di Thailand.
“Selangor FC juga sudah menerima bayaran pampasan berdasarkan kontrak beliau. pasukan ingin berterima kasih kepada Cheng Hoe atas usaha dan sumbangan beliau untuk kelab ini dan mengucapkan selamat maju jaya pada masa hadapan.
“Nidzam Jamil kini dilantik sebagai ketua jurulatih sementara dan pada masa yang sama, pihak pengurusan kelab akan menjalankan proses pemilihan terperinci bagi melantik ketua jurulatih yang baharu,” kata Selangor FC.
Sebagai rekod, sejak dilantik pada September 2022, Cheng Hoe berjaya membantu Selangor FC menjadi naib juara Piala Malaysia 2022 dan juga naib juara Liga Super Malaysia 2023.
Pencapaian menjadi naib juara Liga Super musim lalu membolehkan Selangor FC layak secara automatik ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) untuk musim 2024/2025.
Sementara itu, Cheng Hoe mengucapkan terima kasih kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, kerana memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat dengan pasukan tersebut.
“Tentulah, terima kasih kepada RMS (Raja Muda Selangor) menjadi satu penghormatan besar untuk saya bergelar jurulatih bagi sebuah kelab besar seperti Selangor, yang merupakan sebuah kelab gergasi dalam dunia bola sepak Malaysia.
“Sebagai jurulatih profesional, kadangkala anda perlu membuat keputusan yang sukar untuk pengalaman dan pengembaraan baharu. Keputusan untuk berundur sebagai jurulatih Selangor mungkin sebahagian daripada perjalanan untuk cabaran dan pertumbuhan baharu.
“Adalah penting bagi jurulatih untuk mencari peluang baharu untuk terus mengembangkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam permainan,” katanya seperti yang dipetik Flash Sukan. – UTUSAN










