PETALING JAYA: Tiga pelumba berbasikal trek negara gagal mempamerkan aksi terbaik setelah tersingkir awal pada acara masing-masing di Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) Hong Kong, hari ini.
Pelumba negara negara, Muhammad Ridwan Sahrom terkandas seawal peringkat kelayakan sprint apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-30 selepas melakukan catatan masa 10.027 saat (s).
Abangnya pula, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terkandas di pusingan ketiga sprint selepas melakukan catatan masa 10.721s tewas kepada pelumba Perancis, Vigier Sebastien (10.078s).
Itu bermakna gabungan adik-beradik tersebut gagal mendapatkan sebarang keputusan positif selepas semalam mereka turut tersingkir awal di pusingan pertama repechage.
Dalam pada itu, seorang lagi wakil negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut mengikut jejak langkah yang sama selepas gagal melepasi saringan pusingan pertama acara keirin wanita.
Semalam, Izzah turut terkandas di pusingan kelayakan dalam acara pecut individu wanita selepas mencatat 11.278s sekali gus menghuni tempat ke-30 daripada 40 peserta. – UTUSAN










