MOM akan hormat keputusan Kabinet 

MOM akan hormat keputusan Kabinet 

MOHAMAD NORZA ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Semuanya terpulang kepada kabinet. Apa jua keputusan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tetap akan menghormati.”

Demikian reaksi Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berhubung tawaran kepada Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas Victoria menarik diri berikutan masalah kewangan.

Walau bagaimanapun, Norza menegaskan, penganjuran sukan berkenaan merupakan satu penghormatan kerana ia adalah acara yang berprestij di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kerajaan perlu melakukan pertimbangan secara menyeluruh dalam perbincangan Kabinet berhubung tawaran dan pelaksanaan temasya berkenaan.

“Kos yuran penganjuran biasanya perlu dibayar sebanyak RM135 juta (22.5 juta pound) kepada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF).

“Seperti semua sudah tahu apabila sesebuah negara menjadi tuan rumah, mereka perlu menanggung kos penganjuran. Selain RM33 juta (5.6 juta pound)  juga perlu diasingkan bagi perbelanjaan pembangunan Persatuan Sukan Komanwel (CGA).

“Tetapi dalam kes kami di Malaysia, kami perlu mengetepikan sebanyak RM169 juta (28.1 juta pound). Malaysia merupakan komuniti antarabangsa. Sudah tentu kita rasa terhormat kerana CGA Malaysia bergabung dengan CGF,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, Norza berkata, kelebihan Malaysia memanfaatkan infrastruktur sedia ada dan meminimumkan projek pembinaan untuk mengurangkan beban kewangan negara.

“Kita tidak perlu membina pembangunan baharu seperti di Sukan Asia Tenggara (SEA) 2017 kerana kita sudah ada semua itu (kemudahan sukan).

“Kita masih ada kemudahan sedia ada yang juga bertaraf dunia berikutan pembinaan untuk Sukan Komanwel 1998 lalu,” katanya.

Victoria sebelum ini memberikan alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjur temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac 2026.

Daripada 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia (1998) pernah menganjurkan temasya itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×