KUALA LUMPUR: Pingat emas Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat menjadi sasaran utama pemain skuasy No. 1 wanita negara, S. Sivasangari.
Bagaimanapun, sebelum meletakkan sasaran tersebut, pemain yang kini menghuni ranking No. 15 dunia itu mengakui, dia perlu memastikan lolos dalam kelompok 10 terbaik dunia terlebih dahulu.
“Pingat emas Sukan Olimpik merupakan impian semua atlet dan saya perlu percaya kepada diri sendiri, jika saya tidak meletakkan sasaran emas itu, buat apa saya berada di sini.
“Saya rasa semua pemain skuasy mempunyai sasaran yang sama untuk memenangi pingat emas, saya terima cabaran ini, walaupun bukan mudah, tetapi ini yang saya mahu lakukan,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman Sivasangari sebagai Duta Sukan CIMB di sini, semalam.
Turut hadir menyaksikan kerjasama itu dimeterai antara Sivasangari dan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Pengguna dan Perbankan Gigital Kumpulan CIMB, Effendy Shahul Hamid ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Menurut Sivasangari, fokusnya kini ialah memastikan dirinya berjaya berada dalam kelompok 10 terbaik dunia sebelum musim ini berakhir pada Jun.
Jelas anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu, dia sedar untuk mencapai sasaran tersebut bukan mudah terutama apabila memikirkan tentang cabaran yang hadir khususnya daripada kuasa besar sukan skuasy iaitu Mesir.
“Saya tak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri kerana jika saya tertekan, saya takkan mampu mempamerkan persembahan yang baik.
“Ramai pemain di atas dan di bawah (ranking) saya, jadi persaingan sentiasa sengit setiap kali bertemu dalam kejohanan, saya rasa apa yang menjadi cabaran sekarang ialah permainan mental yang mana saya perlu percaya mampu menewaskan mereka,” tegasnya.
Sivasangari berkata, dia sebenarnya semakin hampir untuk mengejar standard pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia dengan jaguh No. 6 dunia, Georgina Kennedy sebagai contoh bahawa dia mampu menghadirkan tentang sengit kepada bintang England itu.
“Semasa beraksi di Cleveland, minggu lalu, saya tewas tipis 2-3 di tangan Georgina, jadi, saya rasa perlu lagi perbaiki kekuatan mental ketika berada dalam gelanggang,” ujarnya.
Mengulas mengenai kerjasama yang terjalin antaranya dan CIMB, pemain berusia 25 tahun itu memberitahu, sejak kecil dia menyaksikan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David yang merupakan idolanya dan menjadi sebahagian daripada keluarga CIMB adalah impian yang menjadi realiti. – UTUSAN










