JOHOR BAHRU: Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2024 di Hong Kong akan menjadi medan terakhir buat jaguh basikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom menguji kemampuannya sebelum ke Paris 2024.
Shah Firdaus berkata, itu adalah kejohanan terakhir yang akan disertainya sebelum berlepas ke Australia bagi mengikuti kem latihan persediaan Sukan Olimpik Paris 2024.
Pelumba yang diberi julukan The Terminator Shah itu menganggap kejohanan kompetitif itu yang akan berlangsung Mac ini penting bagi memastikan prestasi semasa terus berada pada tahap terbaik.
Atlet berusia 28 tahun itu telah berjaya mengesahkan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas meraih pingat gangsa dalam acara pecut lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India, Jumaat lalu.
“Selepas ini, saya akan ke Hong Kong bagi menyertai Nation Cup (15 hingga 17 Mac), ini adalah perlumbaan terakhir saya untuk ke Olimpik Paris memandangkan dari segi pungutan mata, saya telah mengesahkan kedudukan ke temasya itu.
“Selepas itu, saya akan mengikuti kem latihan di Australia sebagai persiapan ke Olimpik Paris, dan sebulan sebelum temasya sukan itu bermula, saya akan ke Mallorca, Sepanyol untuk kem latihan fasa akhir,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Sukan Johor Ke-30 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, kelmarin.
Pada majlis tersebut, anak jati Muar itu dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Olahragawan Johor, menewaskan jaguh angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan dan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong.
Dalam pada itu, pemenang pingat gangsa dalam acara keirin dan pecut di Sukan Asia Hangzhou itu berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki supaya tidak menjejaskan peluangnya di Sukan Olimpik kelak.
“Saya perlu ambil pengajaran apa yang berlaku pada ACC di India baru-baru ini yang menyebabkan saya tidak layak ke pusingan akhir bagi acara keirin.
“Pada perlumbaan itu, saya tidak sedar pelumba Kazakhstan membenarkan pelumba China menjarakkan diri di depan, saya tidak jangka dia melakukan perkara itu sehingga menjejaskan peluang untuk ke pusingan akhir. Saya akui itu kesilapan saya juga dan tidak akan membenarkannya berlaku di Olimpik Paris nanti,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan berkongsi pentas Sukan Olimpik terakhir dengan Datuk Azizulhasni Awang, dia tidak ada masalah untuk menjadi ‘korban’ bagi membantu pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu.
“Saya bersama Datuk Azizulhasni sudah lama baik di peringkat Asia mahupun dunia, sudah macam-macam cara yang kita cuba buat dan harapnya di Olimpik Paris nanti kami sama-sama dapat layak ke final.
“Kita akan lihat, sama ada antara salah seorang kena korban dan kita akan buat cara itu. Bagaimanapun, apa-apa boleh jadi dan kita tak tahu apa yang akan berlaku masa perlumbaan itu nanti,” katanya. – UTUSAN










