PETALING JAYA: “Banyak muka baharu dan pemain muda tetapi memerlukan masa untuk membangunkan mereka dan mereka sendiri perlu cepat belajar,”
Begitu pandangan jurulatih Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini dalam usaha membina semula skuad kebangsaan menjelang kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2024, Mei ini.
Menurutnya, skuad kali ini kekurangan pemain yang berpengalaman dalam kejohanan antarabangsa seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik.
Saiful menambah, cabaran getir bakal menanti kepada pemain baharu ini berikutan mereka memerlukan masa untuk belajar dengan cepat dalam membentuk pasukan jangka masa dua tahun ini.
“Skuad kali ini saya nampak banyak sangat muka baharu dan saya agak terkejut.
“Tidak ada masalah dalam skuad kali ini cuma dalam membuat keputusan, pengalaman, corak permainan dalam kejohanan antarabangsa nanti mereka memerlukan masa belajar semua itu.
“Namun saya nampak Sarjit kekalkan beberapa pemain seperti Fitri, Faizal dalam skuad mungkin untuk membimbing mereka,” katanya.
Malaysia sekali lagi gagal mencari tempat ke Olimpik berikutan menamatkan saingan aksi kelayakan di tempat kelima di Muscat, Oman, awal tahun lalu.
Kali terakhir Malaysia layak ke temasya terbesar dunia itu pada edisi 2000 di Sydney dan aksi kelayakan kali ini menyaksikan hanya tiga pasukan terbaik layak beraksi di Paris, Julai ini.
Sementara itu, Saiful berkata, ketiadaan pemain senior yang dahulu amat membingungkannya kerana prestasi mereka masih pada tahap memberangsangkan.
Menurutnya, ketiadaan pemain seperti Muhammad Firhan Ashaari, Faiz Helmi Jali serta Muhammad Shahril Saabah pada senarai kali ini merupakan satu kehilangan susulan pengalaman mereka yang bernilai.
“Mungkin dia (Sarjit) nak cuba pemain yang tiada pengalaman ini, adakah mereka boleh bermain di peringkat antarabangsa.
“Hoki ini berlainan sikit kalau di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Mungkin ini satu ujian.
“Pada saya dalam masa dua tahun, dia (Sarjit) mahu bentuk pasukan dia tidak boleh banyak sangat pemain kurang pengalaman. Bagi saya sekurang-kurangnya empat tahun mereka memerlukan pengalaman,” katanya.
Speedy Tigers bakal bersaing dalam Piala Sultan Azlan Shah yang bakal melabuhkan tirainya di Ipoh, Perak pada 4 hingga 11 Mei ini. – UTUSAN










