PETALING JAYA: Dua tahun tempoh yang diberikan untuk penganjuran Sukan Komanwel 2026 bukanlah satu pilihan terbaik untuk Malaysia menerima tawaran menjadi tuan rumah.
Pandangan itu disuarakan oleh bekas Pengerusi Sukom Ninety Eight Berhad, Jeneral (B) Tun Mohamed Hashim Mohd Ali yang menegaskan, kerajaan perlu menangguhkan hasrat jika benar mahu menganjurkan temasya sukan empat tahun sekali itu.
Katanya, hal ini kerana Malaysia tidak berada di kedudukan terbaik untuk menjadi tuan rumah, berikutan tempoh masa dan langkah penjimatan yang sedang dilakukan kerajaan ketika ini.
Bekas Panglima Angkatan Tentera itu menganggap tempoh kira-kira dua tahun adalah terlalu singkat untuk melakukan persiapan intensif sekali gus meragui kemampuan Malaysia mengulangi pencapaian sewaktu menjadi tuan rumah buat julung kali pada 1998.
“Masa kita ditawarkan jadi tuan rumah dulu, kita ada empat tahun untuk buat persiapan antaranya menaik taraf venue, mendapatkan penajaan dan menyediakan infrastruktur.
“Kali ini diberi tempoh dua tahun saja, kalau nak buat betul-betul dan setaraf dengan edisi 1998 saya rasa tidak boleh kerana waktunya singkat.
“Kalau ada empat tahun kita boleh dapatkan penaja, itu yang dilakukan sebelum ini, kita tubuh sebuah syarikat iaitu Sukom 98 yang mengendalikan temasya itu,” katanya.
Hashim, 89, menegaskan, meskipun Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan suntikan dana 100 juta pound (RM602 juta) kepada Malaysia yang pernah menjadi tuan rumah pada tahun 1998, namun kerajaan perlu bersedia mengeluarkan sejumlah bajet yang lebih besar daripada dana yang diberikan.
Mengambil kira kedudukan ekonomi ketika ini, perkara itu dilihat bukanlah masa yang tepat untuk Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 dan secara tidak langsung membuka pintu kepada pengkritik.
“Kalau ada begitu banyak wang tujukan kepada rakyat, manfaatkan mereka dengan membina hospital ataupun sekolah. Kalau buat (anjurkan) terbuka nanti pintu untuk orang katakan ini tak sesuai kerana kerajaan gunakan wang sebanyak itu untuk perkara lain dan bukannya rakyat.
“Kenapa Australia (Victoria) tak mahu, mesti mereka ada sebab-sebabnya, jadi saya rasa kita pun tak perlu terkejar-kejar untuk anjurkannya pada 2026, belum masanya lagi, sekarang terlalu suntuk untuk melakukan persiapan,” jelasnya.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini mengesahkan CGF menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 bagi menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri tahun lepas.
Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas perkara itu berkata, kerajaan akan membincangkan dengan terperinci dan mendapatkan pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan muktamad berhubung tawaran untuk Malaysia menjadi tuan rumah temasya berkenaan.
Nasib Sukan Komanwel 2026 kekal menjadi tanda tanya selepas Victoria, yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 itu, menarik diri pada Julai tahun lepas kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).
Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta (RM1.17 bilion) kerana melanggar kontrak, susulan tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17 hingga 29 Mac, 2026.
Bukan sahaja Victoria, India juga tidak berminat untuk menjadi pengganti bagi edisi 2026 selain wilayah Alberta di Kanada turut menarik diri daripada proses bidaan Sukan Komanwel 2030 selepas seminggu Victoria mengumumkan menarik diri. – UTUSAN










