SOALAN
Saya ibu tunggal kepada tiga anak. Bila anak meningkat dewasa, bekas suami kerap menghubungi anak dan mengajak tinggal bersamanya. Saya kurang selesa dengan perbuatan bekas suami lebih-lebih bila mengenangkan kesakitan pernah saya rasai waktu bersama dulu. Bagaimana mengendalikan situasi ini?
Pn. Kemboja
Jawapan
Menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal bukan mudah. Mengurus dan mendidik anak tanpa suami pasti akan memberi kesan kepada fizikal dan mental. Hanya mereka yang melaluinya akan merasai keperitan dan konflik dalaman dalam diri apabila perlu berhadapan dengan pelbagai rintangan. Hanya Tuhan mengetahui.
Anak ditinggalkan tanpa khabar berita, kini apabila kehidupan semakin stabil dan anak-anak mula meningkat dewasa, sang bapa datang memberi harapan.
Trauma yang dulu pun belum pulih, kembali lagi terluka.
Walaubagaimanapun, harus diingatkan bahawa bekas suami juga adalah bapa kepada anak-anak puan dan dia turut memiliki hak untuk mengetahui keadaan anak-anak.
Memang rasa perit dan sakit hati mengenangkan apa yang pernah dilakukan bekas suami itu kepada puan, tetapi adalah lebih baik sekiranya ruang dan peluang diberikan, agar hati dan fikiran puan lebih tenang.
Berikut, bagaimana cara untuk berdamai dengan takdir dalam menjalani kehidupan dengan lebih tenang:
* Menjaga kehormatan diri – Ibu hebat pandai mengurus emosi dengan baik. Elakkan diri daripada melenting dan bertingkahlaku yang boleh mencalarkan kehormatan diri di hadapan bekas suami. Sekiranya perlu mempertahankan hak sebagai ibu, pastikan memilih jalan yang betul. Lagi pula, anak-anak sudah dewasa berikan mereka ruang untuk memilih yang terbaik kerana setiap apa yang dilakukan akan menjadi penilaian untuk anak-anak.
* Pengurusan emosi anak-anak – Belajar merendahkan ego dan berikan keutamaan kepada anak-anak. Hubungan antara bapa dan anak tidak akan terputus hingga akhir hayat. Bersyukur bahawa bekas suami dibukakan pintu hati kerana sedar akan tanggungjawab untuk menjaga anak. Beri ruang untuk beliau memperbaiki diri dan bantu menguruskan anak-anak.
* Berdamai dengan takdir – Terima qada dan qadar Allah dengan sepenuh keyakinan bahawa jodoh pertemuan, ajal maut adalah ditangan Allah. Terima takdir yang telah dihadapi ini dengan hati terbuka. Yakin dan percaya bahawa Allah tidak akan membebankan lebih dari apa yang mampu kita tangggung.
* Bersikap terbuka – Boleh benarkan anak tinggal dengan bekas suami secara bersyarat. Letakkan syarat yang bersesuaian tanpa memberikan bebanan keterlaluan untuk anak dan pasangan. Contoh, ambil anak ketika hujung minggu atau cuti sekolah sahaja.
* Sayangi diri – Kekal tenang dan belajar untuk mengawal emosi agar tidak mudah melatah dalam menghadapi ujian kehidupan. Lakukan aktiviti yang anda gemari dan ambil peluang untuk menarik nafas lega dan merehatkan diri dari kepenatan menguruskan anak-anak semasa anak bersama dengan bekas suami.










