PETALING JAYA: Langkah jaguh badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia disekat lagi seawal pusingan pertama pada badminton Terbuka Perancis di Arena Porte De La Chapelle, Paris, semalam.
Bukan Zii Jia sahaja, persembahan hambar beberapa wakil negara pada kejohanan itu amat membimbangkan menjelang temasya dan kejohanan besar yang bakal disertai Malaysia terutama peluang mereka dalam Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam aksi peringkat 32 terbaik, pemain No. 10 dunia itu dikejutkan wakil Denmark yang menghuni ranking ke-33 dunia, Magnus Johannesen 15-21, 19-21.
Zii Jia ketika temu bual Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir mengakui, sikap kurang sabarnya dan kerap melakukan kesilapan sendiri menyumbang kepada kekalahan itu.
“Saya mungkin tidak begitu sabar dan melakukan banyak kesilapan, dia (Johannesen) pula bertahan dengan cukup baik sehingga saya hilang keyakinan,” katanya.
Anak kelahiran Kedah itu berkata, dia juga gagal mengawal keseluruhan perlawanan dengan baik dan memuji pemain muda Denmark berusia 22 tahun itu yang mempamerkan peningkatan sejak dua tahun kebelakangan ini.
Selepas Terbuka Perancis, fokus Zii Jia perlu dialih kepada All England pula yang bermula Selasa minggu depan dan dia tidak lagi boleh mengulangi kesilapan sama jika tidak mahu terus hilang keyakinan diri menjelang Piala Thomas yang bermula 28 April hingga 5 Mei ini di Chengdu, China dan Sukan Olimpik di Paris, Julai ini.
Apa yang lebih membimbangkan, kemerosotan prestasi pemain badminton negara bukan sahaja membabitkan Zii Jia seorang, malah turut melibatkan wakil-wakil negara yang lain.
Antaranya termasuk beregu wanita No. 1 Malaysia, Pearly Tan-M Thinaah yang ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan No. 5 dunia, Zhang Shu Xian-Zheng Yu dari China 21-18, 16-21, 12-21 dalam masa 1 jam 14 minit.
Kelmarin, beregu negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan perseorangan wanita, Goh Jin Wei turut terkeluar awal di pusingan pertama.
Tersingkir secara ‘beramai-ramai’ barisan pemain Malaysia cukup meresahkan, kehadiran mereka kini seolah-olah tidak digeruni lawan.
Di manakah silapnya, apa yang tidak kena dengan pemain-pemain ini?
Pelbagai cara cuba diguna pakai barisan kejurulatihan termasuk membawa masuk rakan sepelatih dari luar negara untuk membantu meningkatkan prestasi tetapi nampaknya perubahan masih belum lagi dapat dilihat sehingga ke saat ini. – UTUSAN










