PETALING JAYA: Penantian dua dekad Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk bergelar juara Liga Hoki Malaysia (MHL) berakhir selepas melancarkan amuk ke atas pasukan tercorot, JM Antsbees dengan kemenangan 22-1.
Ia satu pencapaian yang cukup manis buat pengendali TNB, Nor Saiful Zaini memandangkan untuk satu ketika, mereka hampir terlepas gelaran ini ke atas lawan, Pasukan Hoki Terengganu (THT).
Ironinya, kali terakhir TNB bergelar juara liga adalah pada 2003, ketika Nor Saiful masih lagi berkhidmat sebagai pemain dengan pasukan ini.
Dalam aksi terakhir liga yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam, THT turut berjaya menumpaskan satu lagi pencabar liga, Maybank dengan keputusan 4-3, sekali gus menamatkan aksi musim ini dengan 26 mata, berkongsi mata dengan TNB.
Bagaimanapun kelebihan jaringan memihak kepada TNB untuk bergelar apabila jentera pasukan itu telah meledak keseluruhan 92 gol bagi saingan liga musim ini, jumlah yang sukar dikejar oleh mana-mana pasukan.
“Kemenangan ini bagus untuk TNB kerana sebelum ini kita sering menamatkan saingan di tempat kedua. Tambahan tahun ini kita membawa masuk pemain import seperti (Jang) Jong Hyun untuk membantu kita meraih piala.
“Awal musim kita sedang bergelut kerana para pemain belum menyesuaikan diri, tetapi syukur kita dapat menamatkannya sebagai juara,” kata Nor Saiful selepas tamat perlawanan.
Ini merupakan piala kedua diraih TNB musim ini, selepas merangkul Piala Sumbangsih, dan mereka berpeluang untuk melengkapkan gelaran treble apabila bakal turun berentap untuk saingan Piala TNB yang akan bermula pada Jumaat.
“Saya mahu pemain-pemain saya bersedia, sebaik sahaja aksi suku akhir pada Jumaat ini, dan membawa momentum sama untuk ke separuh akhir dan kalau boleh ke final.
“Kita akan cuba untuk mengejar satu lagi kejuaraan,” tambahnya. – UTUSAN










